Home Berita PAS Terengganu

Insiden pukul OKU: Paijang stabil di Pusat Psikiatri

81
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra disapa Paijang, mangsa insiden pukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental ini sedang dirawat di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyifatkan keadaan Paijang kini baik dan ceria selepas bertemu sahabat-sahabat lamanya.

“Paijang menangis kegembiraan apabila bertemu kami.

“Dia memeluk erat sahabat-sahabat lamanya dari SMKA Sheikh Abdul Malek.

“Dia benar-benar berterima kasih atas kunjungan ini,” kata Maliaman ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Kompleks Psikiatri HSNZ, di sini hari ini.

Turut hadir bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, yang juga sahabat lama mangsa sejak sekolah.

Menurut Maliaman, Paijang yang sebelum ini merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mula menghidap penyakit bipolar selepas tamat persekolahan.

“Penyakit tersebut menyebabkan beliau gagal menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dia bukan insan biasa, ini menunjukkan betapa pentingnya perhatian daripada keluarga dan masyarakat untuk pesakit seperti ini.

“Jangan biarkan mereka tanpa kawalan atau rawatan kerana kegagalan mengambil ubat boleh membawa kepada insiden seperti ini,” tegas beliau.

Dalam usaha menjaga kebajikan Paijang, beliau menerima bantuan Elaun Pekerja OKU (EPC) sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Maliaman.

“Ini membuktikan dia tidak terbiar.

“Dia di bawah pemantauan hospital dan masih mendapat rawatan yang sepatutnya,” jelasnya.

Insiden menyayat hati membabitkan seorang lelaki OKU mental yang dipukul secara kejam telah mencetuskan sensasi di seluruh negara.

Kejadian ini menjadi topik hangat selepas rakaman video berdurasi 2 minit yang memaparkan insiden tersebut tular di media sosial, mencuri perhatian ramai sejak awal pagi Jumaat.