Home Berita PAS Terengganu

Insiden rusuhan bukan imej rakyat Terengganu – Maliaman

60
SHARE

KUALA TERENGGANU – Insiden lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dipukul di Kemaman baru-baru ini terus mencetuskan kontroversi di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, tampil mempertahankan imej rakyat Terengganu sambil menzahirkan rasa kecewanya terhadap insiden yang tular itu.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku, peristiwa ini langsung tidak mencerminkan imej sebenar rakyat Terengganu.

“Segelintir individu sahaja yang bertindak liar, sama seperti kes jenayah di negeri lain, kita tidak boleh menghukum seluruh rakyat negeri tersebut hanya kerana satu insiden,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Maliaman turut menyeru masyarakat agar lebih adil dalam menilai insiden tular baru-baru ini.

“Rakaman kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif, hingga ada seruan boikot terhadap Terengganu, ini tidak adil.

“Insiden tersebut adalah kes terpencil, jangan kerana satu kes, seluruh rakyat Terengganu dihukum.

“Kita serahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.

Menurut Maliaman, kes ini sedang disiasat di bawah Akta 147, iaitu berkaitan rusuhan.

“Polis sedang menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang.

“Apa-apa tindakan selepas ini biarlah mahkamah yang tentukan, kita sebagai rakyat tidak boleh menghukum sesuka hati,” tegas beliau.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan dan menghindari provokasi.

“Kalau ada kes seperti ini, tindakan terbaik ialah hubungi polis.

“Jangan ikut hawa nafsu untuk menghukum, sebarang tindakan seperti memukul adalah hak pihak berkuasa, bukan rakyat biasa,” jelasnya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Nasional Negeri itu mengingatkan masyarakat agar bertindak rasional dan belajar bersabar dalam menghadapi situasi seperti ini.

“Sabar itu sangat penting.

“Sebarkan berita secara harmoni, supaya kita semua dapat ambil iktibar dan elakkan perkara seperti ini berulang,” ujarnya.