WANGSA MAJU, 12 Januari 2025 – Jentera PAS Kawasan Wangsa Maju kini giat melaksanakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Dalam usaha memperkukuhkan sokongan dan mendekati pengundi, program Cula Mega dilancarkan di seluruh Parlimen Wangsa Maju, hari ini
Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud, program ini bertujuan mengenal pasti kecenderungan pengundi dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan strategi gerak kerja digerakkan secara berfokus dan berkesan.
“Jentera PAS Wangsa Maju sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU16. Pelaksanaan Cula Mega ini adalah langkah penting bagi memastikan kita dapat mengenali pengundi dan menyampaikan mesej perjuangan secara lebih dekat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PilihanRaya Dewan Muslimat PAS Wangsa Maju, NorSamawati, memaklumkan bahawa jentera pemuda dan muslimat muda turut memainkan peranan penting dalam mendekati golongan muda melalui platform media sosial dan program komuniti.
“Kami memastikan setiap pengundi muda memahami dasar-dasar PAS dan Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan terbaik untuk masa depan negara. Cula Mega membantu kami mengetahui keperluan dan isu yang dekat dengan hati mereka,” ujarnya.
Setiausaha PAS Kawasan Wangsa Maju, Hairul Anuar, menegaskan bahawa program ini turut melibatkan kerjasama erat dengan semua lapisan masyarakat, termasuk NGO tempatan.
“Cula Mega adalah satu pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan cula undi, tetapi juga membina hubungan erat dengan penduduk setempat. Ia akan memperkukuh sokongan terhadap PAS dan PN di Wangsa Maju,” katanya.
Dengan komitmen yang tinggi dari semua pihak, PAS Wangsa Maju optimis untuk memberikan saingan hebat di PRU16 nanti, meneruskan agenda memperjuangkan Islam dan kesejahteraan rakyat.