KUALA NERUS – Kerajaan negeri memandang serius masalah hakisan pantai yang hampir memusnahkan sebuah rumah di Kampung Tanjung dekat Batu Rakit dengan membina benteng sementara sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib Mac depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata benteng sementara itu akan dibina di kediaman itu secara bergotong-royong
“Penduduk dengan kerjasama pengusaha jentera pengorek (excavator) akan bergotong-royong bina benteng sementara di rumah ini.
“Buat masa terdekat ini kita berusaha untuk selamatkan rumah dahulu dan kerja-kerja itu telah bermula hari ini,” katanya kepada pemberita.
Hishamuddin sebelum itu meluangkan masa melawat keluarga berkenaan pada petang Jumaat lalu untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai masalah dialami.
Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia bersyukur kerana masalah itu mendapat perhatian ramai termasuk pihak kerajaan negeri.
“Saya bersyukur kerana usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saya menyelamatkan rumah ini daripada roboh dan dihanyutkan ombak.
“Terima kasih tidak terhingga kepada wakil rakyat yang turut membantu saya dan keluarga mengatasi masalah hakisan ini dalam tempoh terdekat.
“Saya harap usaha ini dapat mengurangkan dan melambatkan masalah hakisan di sini sebelum saya memikirkan inisiatif lain bagi menyelamatkan rumah ini untuk tempoh jangka masa panjang,” ujarnya.
Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina atas tanah dibeli dengan nilai RM100,000 itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.