Home Berita PAS Terengganu

Video Promosi VisitMalaysia2026 perlu mencerminkan majoriti masyarakat majmuk

27
SHARE

KUALA LUMPUR – Video promosi Visit Malaysia 2026 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu lebih mencerminkan identiti majoriti kaum di Malaysia serta peranan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris bekata, seni bina masjid sebagai simbol keindahan Islam, harus ditonjolkan dalam promosi tersebut untuk memberi gambaran sebenar tentang keunikan Malaysia.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, ia adalah simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Elemen ini penting untuk menonjolkan identiti Malaysia sebagai negara Islam yang kaya dengan warisan budaya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis kerajaan negeri bertempat di Hotel, Sunway Putra, hari ini.

Razali turut menyeru MOTAC agar lebih sensitif dalam memberi gambaran tentang kemajmukan agama dan budaya di Malaysia.

Tambahnya lagi, dengan memaparkan elemen-elemen seperti seni bina masjid, adat Melayu, dan pakaian tradisional akan memberi impak yang lebih bermakna kepada promosi antarabangsa.

“Video promosi itu perlu mencerminkan realiti Malaysia, di mana Islam menjadi teras identiti negara, sambil meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang lain.

“Ini bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi juga memperkukuh semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap agar video promosi tersebut dapat dipinda dengan menampilkan lebih banyak elemen budaya Melayu dan seni bina Islam, khususnya masjid-masjid ikonik seperti Masjid Kristal dan Masjid Putra.