HULU TERENGGANU – Gadis kelahiran Ajil, Asma Mohd Nazri, mencipta sejarah apabila berjaya merangkul pingat perak dalam 20th World Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 18 Disember lalu.
Asma, 25, yang mewakili Malaysia dalam kategori seni tunggal wanita, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan memukau juri dan penonton dari seluruh dunia.
Beliau berjaya menawan perhatian ramai dengan persembahan bertenaga dan penuh seni, yang menunjukkan kehebatan budaya silat warisan Melayu.
Menurutnya, perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukanlah mudah, terutama dengan cabaran latihan intensif dan persaingan sengit daripada peserta dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam, dan Thailand.
“Saya tidak menyangka dapat melangkah sejauh ini, apatah lagi membawa pulang pingat perak di pentas dunia. Ini adalah detik yang sangat bermakna buat saya dan keluarga,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, Asma telah memenangi emas dalam silat seni kategori Regu Putri yang berpeluang mengisi tempat ke team kebangsaan dan memenangi pingat perak pada Sukan SUKMA 2022 dalam kategori Silat Seni Tunggal Puteri sebelum memenangi emas di 8th Asian Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Bukhara, Uzbekistan.
Anak jati Ajil itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan, termasuk keluarganya, jurulatih, serta rakan-rakan pasukan silat negara.
“Pengorbanan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka di kampung halaman saya di Ajil. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus mengangkat martabat seni silat di persada dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Maliaman Kassim, turut memuji dedikasi dan semangat juang Asma sepanjang kejohanan.
Beliau menyifatkan Asma sebagai atlet berbakat besar yang mampu pergi lebih jauh dalam kariernya.
“Asma telah menunjukkan disiplin yang tinggi dan semangat yang luar biasa. Pingat perak ini adalah permulaan diperingkat dunia kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
“Kejayaan Asma bukan sahaja mengharumkan nama Ajil, tetapi juga Malaysia di pentas dunia. Ia menjadi bukti bahawa warisan budaya Melayu seperti silat masih relevan dan dihormati di arena antarabangsa” katanya.