Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 6 Jan –Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah berkata, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berjaya membentuk generasi muda yang sensitif terhadap agama.
Menurut beliau, hasil pemerhatian terhadap anak-anak yang keluar dari PASTI menunjukkan mereka berjaya menjadi mujahid Islam sejak usia muda.
“Sebagai ibu bapa, kita sendiri turut mendapat manfaat daripada apa yang anak-anak pelajari di PASTI.
“Contohnya, mereka diberikan hafazan surah Al-Mulk dan doa-doa tertentu, mereka yang membaca doa untuk kita ketika hendak tidur, sedangkan kita ketika itu sedang asyik dengan telefon bimbit, inilah antara kebanggaan hasil didikan PASTI,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Prestasi 2024 PASTI Abu Bakar Assidiq Bukit Gelugor Beserah di sini semalam.
Tambahnya lagi, hasil dari sokongan dan komitmen yang tinggi dari ibu bapa, dua buah PASTI baharu telah dibuka di Beserah iaitu PASTI Abu Hurairah di Alor Ladang dan PASTI Al Jazari di Bukit Pelindung.
“Usaha ini bukanlah mudah, ia memerlukan semangat dan pengorbanan dalam menghadapi cabaran untuk memastikan generasi muda tidak pupus daripada penerapan nilai-nilai agama,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Guru Besar PASTI Abu Bakar Assidiq Bukit Gelugor Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru PASTI dan Ahli Jawatankuasanya yang telah bekerja keras bagi menjayakan program tersebut.
Majlis ini telah dihadiri oleh Setiausaha PAS Kawasan Indera Mahkota Mohd Johari Yahaya, Pengerusi PASTI Indera Mahkota Mohd Syakir Mohd Sampian, Pengerusi Majlis Guru Pasti Kawasan Indera Mahkota Fadhilah Hamid, Pengurus PASTI Abu Bakar Assidiq Bukit Gelugor Rosdi Abdul Rahim, Ketua Cawangan PAS Beserah Tengah Mohamad Hafizi Abdul Hamid bersama Ahli Jawatankuasanya.