Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS – “Dulu tiada siapa pun peduli keadaan kami, turun ke laut atau tidak, tiada siapa ambil tahu,” luah Zahawi Putih, nelayan dari Kampung Duyong Kelab Aya.
Zahari berkata, nasib mereka akhirnya berubah selepas berlaku perubahan kerajaan negeri pada 2018.
“Selama 40 tahun menjadi nelayan, ini kali pertama saya dapat bantuan sebegini.
“Semuanya bermula sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018,” katanya bersyukur menerima bantuan dalam program Temu Murni Nelayan yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah Darul Taqwa baru-baru ini.
Menurut Zahari, sejak Terengganu dipimpin oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barulah nasib para nelayan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Zahari juga berkongsi cabaran getir yang dihadapinya sepanjang menjadi nelayan, termasuk pengalaman hampir maut apabila botnya karam akibat dipukul ombak.
Sementara itu, ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, menjelaskan bahawa program tersebut bertujuan meringankan beban nelayan yang tidak dapat turun ke laut akibat musim tengkujuh.
“Program ini telah diadakan sejak beberapa tahun lalu bagi membantu nelayan yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang Monsun Timur Laut.
“Kali ini, kita mengagihkan bantuan hasil kerjasama dengan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak,” jelasnya.
Menurut beliau, sumbangan kali ini merangkumi bantuan kewangan dan keperluan asas seperti beras, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat.
“Kami amat berterima kasih kepada YB Ahli Parlimen Kuala Nerus atas sokongan beliau. Bantuan ini akan diagihkan kepada semua nelayan yang memerlukan di kawasan DUN Bukit Tunggal,” tambahnya.
Seramai 213 nelayan dari kawasan DUN Bukit Tunggal menerima bantuan musim tengkujuh dalam program ini, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Terengganu sejak 2018 untuk membantu golongan terjejas.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Dr. Alias yang turut menyeru agar usaha murni ini diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.