Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan laksana dua strategi segera atasi banjir di RMM Teluk Kalong

15
SHARE

KEMAMAN – Kerajaan negeri mencari jalan bagi menyelesaikan masalah 500 buah rumah yang didiami 2,000 penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang berhadapan musibah banjir setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya setelah berbincamg dengan Majlis Perbandaran Kemaman, Kontraktor Utama Arus Juta dan pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah bersetuju untuk membina longkang parit tanah sementara.

“Kita juga akan meninggikan sedikit ban di kawasan terbabit bagi mengurangkan risiko banjir.

“Supaya limpahan hujan ini yang mengalir dari bukit akan turun ke dalam parit tanah dan akan pergi ke saluran hadapan.

“Kedua, kita minta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memeriksa semula aliran di luar jalan utama yang mengalir ke laut, memang (sebelum ini) telah dibina jambatan dan air pun sangat laju supaya ada satu aliran untuk memastikan air keluar dengan cepat.

“Selain itu, tidak dinafikan sepanjang 10 tahun ini berlaku hujan yang sangat lebat sehingga melebihi 270 hingga 300 milimeter (mm) sehari dan saya juga bersetuju supaya dekat kawasan padi itu dibuat satu takungan dan saya akan cari tanah untuk alirkan air ini secepat mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke RMM Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Hanafiah berkata, setelah banjir di situ dapat diatasi maka projek untuk membina perumahan baru di kawasan itu akan dapat diteruskan.

“Selepas projek ini siap akan dibina 600 unit rumah komersial pelbagai akan dibina dengan 20 peratus daripadanya akan dibina Rumah Mampu Milik (RMM),” ujarnya.