Home Berita PAS Terengganu

Polis Terengganu rampas dadah RM1.15 juta

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.15 juta dalam satu operasi di Lebuhraya Pantai Timur 2(LPT2) kawasan Kemaman, pada Selasa.

Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai fungsi (MPV) dinaiki lelaki berusia 29 tahun itu mendapati, dadah jenis syabu seberat 36 kilogram dijumpai dibungkus dalam 35 plastik lutsinar tertulis perkataan Guanyinwang.

“Semakan lampau mendapati suspek yang berasal dari Besut itu mempunyai rekod Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2023 dan Seksyen 39A(1) Akta Dah Berbahaya 1952 pada tahun 2015 dengan sabitan 36 bulan penjara dan tiga sebatan.

“Suspek direman di bawah Seksyen 117 kanun prosedur jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selama tujuh hari bermula semalam sehingga 24 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Tambahnya, Bahagian Pelucuthakan Harta (FOP) turut menyita wang dalam akaun suspek berjumlah RM681,718.