Oleh: Nur Asilah Noor
Teluk Intan,18 Disember : Pas Teluk Intan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal bertempat di Dewan Wak Johar, Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) Kampung Padang Tembak di sini, semalam.
Majlis ini bertujuan mengumpul dana untuk merealisasikan pembinaan Kompleks Pendidikan Teras Islam Teluk Intan (KomPTI) bertempat di Taman Lagenda, Teluk Intan.
Yang Berhormat Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS Pusat berkata salah satu amalan yang dijanjikan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda adalah sedekah.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik akan digandakan balasannya dan mereka pula akan mendapat pahala yang mulia.” – Surah al Hadid ayat :18
“Tanggungjawab ‘sivil society’ masyarakat diperlukan bagi menggerakkan usaha semua peringkat dalam pembinaan KomPTI seterusnya melahirkan generasi ‘Qurratu A’yun’ pelapis masa hadapan,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai ketika sesi ucapan perasmiaannya malam itu.
Katanya lagi, fitrah setiap manusia inginkan yang terbaik untuk anak-anak (justeru) suasana ‘biah solehah’ diharap dapat diwujudkan bagi memberi impak berterusan kepada masyarakat serta melahirkan generasi yang mengenal Al Quran dan mengamalkan Islam dengan sempurna.
Sebanyak 70 meja telah terjual sejak beberapa bulan yang lalu melibatkan Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat Jawatankuasa Cawangan serta turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan PAS Kawasan Bagan Datuk dan Pasir Salak.
Majlis ini diserikan lagi dengan dendangan nasyid dari murid-murid Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Al Falah seterusnya diselang selikan dengan acara Cabutan Bertuah kepada pengunjung yang hadir.
Turut hadir, Yang Berhormat Razman Zakaria, ADUN Gunong Semanggol merangkap PesuruhJaya PAS Perak, Yang Berhormat Ustaz Jamaluddin Yahya, Ahli Parlimen Pasir Salak, Yang Berhormat, Nadziruddin Bandi, ADUN Changkat Jong dan isteri, Timbalan Yang DiPertua PAS, Rostam Malek serta ahli jawatankuasa yang lain.