Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Terengganu salur RM2.8 juta perkasa Institusi Pendidikan Islam

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh pendidikan Islam dengan menyalurkan bantuan pengurusan berjumlah RM2.8 juta kepada 136 institusi pendidikan Islam dari lapan daerah, bermula dari Besut hingga Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, menegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan.

“Kita mahu negeri ini maju bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan spiritual.

“Keberkatan yang dicari mesti mengikut syariat, dan kita ingin kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT); Mohd Zaini Mohd Nor.

Beliau turut mengimbau sejarah kehebatan tamadun Islam abad ke-6 yang menjadikan pendidikan sebagai asas kekuatan masyarakat.

“Kejayaan Islam pada zaman dahulu kerana pemimpin mereka mesra pendidikan dan menghargai ilmuwan.

“Sebaliknya, kejatuhan empayar Islam dikaitkan dengan pemimpin yang lebih tertarik kepada hiburan berbanding ilmu.

“Atas sebab itu, kita mahu menyuburkan negeri ini dengan persekitaran yang mendukung budaya ilmu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada individu, NGO, dan tokoh masyarakat yang selama ini membangunkan institusi pendidikan secara sukarela tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Mereka sanggup membeli tanah, membina bangunan, dan menyumbangkan tenaga tanpa mengharapkan balasan.

“Tujuannya hanya satu, memastikan anak bangsa mendapat pendidikan terbaik,” katanya.

Tambah Satiful, bantuan pengurusan per kapita ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.

“Kita mahu anak-anak ini menjadi lebih pandai daripada guru mereka.

“Sasaran kita adalah melahirkan graduan dengan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).

“Matlamat kita adalah memastikan anak-anak Terengganu memiliki kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” jelasnya.