Home Berita PAS Terengganu

54 Penggerak Muslimat Kuala Nerus terima sumbangan pasca banjir

4
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Seramai 54 orang penggerak Muslimat di kawasan ini yang terkesan akibat banjir menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi kesulitan selepas musibah tersebut.

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh Dewan Muslimat dibawah Lajnah Lajnah Keprihatinan Sosial dan Kebajikan Masyarakat.

“Ini adalah antara usaha kecaknaan DMPNT dan alhamdulilah dengan sumbangan yang diberikan kepada kami, kami dapat salurkan kepada mereka memerlukan.

“Kita fokus kepada ‘Amilin Muslimat’ yang mana hari ini kita dapat kumpulkan seramai 50 orang dan tambahan empat orang assabiqat yang mana kita pergi ke rumah mereka.

“Semua barangan ini berupa makanan asas dan wang tunai merupakan hasil daripada kutipan daripada orang ramai.

“Penerima sumbangan ini adalah dari kawasan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang paling teruk terjejas akibat gelombang banjir pertama baru-baru ini,’ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Bantuan Banjir DMPNT Fasa 3 di Kawasan Kuala Nerus, di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa (KOMTAQ), pada semalam.

Menurutnya, selepas gelombang banjir pertama baru-baru ini, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), YB Zuraida Md Noor bersama Ahli Jawatankuasa (AJK), Ameerah, serta beberapa agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah turun padang untuk menyantuni mangsa banjir dan membantu membersihkan kediaman, termasuk di Hulu Besut, Hulu Terengganu, dan Kuala Nerus.

“Insya-Allah, pada hari Khamis, program serupa akan dilaksanakan di Dungun dan Kemaman. Selain itu, DMPNT juga merancang untuk mengadakan ziarah ke Kelantan pada bulan Disember ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar luruan monsun pada gelombang kali ini membawa ketenangan dan tidak seteruk banjir yang berlaku pada gelombang pertama.

“Untuk gelombang kedua kita berdoa tidak seperti kali pertama dan menjadi hujan yang mendapat manfaat kepada kita semua.

“Dan kepada orang-orang berhampiran sungai mereka kena tabah dan buat persiapan untuk gelombang kedua dan ketiga.

“Memanglah kita tidak doakan jadi banjir yang besar tetapi kita buat persiapan awal,” ujar beliau.

Tambahnya, Zarani mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu sedikit sebanyak beban yang dipikul oleh mangsa banjir.

“Kepada semua penyumbang kita masih buka dan kepada semua yang beri khidmat dan juga sumbangan dalam bentuk sumbangan duit kita masih buka,” katanya.