KUALA NERUS – Projek pembersihan dan penyelenggaraan longkang di Kampung Tok Jembal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, berkata, beliau berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu.
“Secara peribadi saya mewakili masyarakat DUN Seberang Takir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Bandar Kuala Terengganu dan MBKT yang telah menyelenggara dua longkang di kawasan Tok Jembal yang kita maklum menjadi punca kegagalan air mengalir ke laut.
“MBKT telah berjaya mendapat peruntukan dari Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) seterusnya adalah diharapkan dengan kerja-kerja selenggara longkang ini juga dapat mengelakkan berlakunya impak banjir di Taman Uda Murni dan sekitarnya, ” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Jembal, Zainal Lasim, 65, ketika dihubungi berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana tidak berlaku banjir pada tahun ini.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak berlaku banjir di kawasan Taman Murni Permai disebabkan pihak kerajaan telah berusaha mengorek dan membersihkan longkang sepanjang 1.3 kilometer bagi kelancaran air mengalir ke laut telah pun selesai dijalankan sebelum tiba musim tengkujuh baru-baru ini.
“Sebelum ini, bila tiba Monsun Timur Laut, apabila satu atau dua jam hujan turun, selalunya memang air laju masuk ke sini terutamanya di Taman Murni Permai.
“Penduduk di sini bimbang setiap kali tiba musim tengkujuh, terpaksa berjaga malam risau akan keadaan air, namun kali ini air tidak masuk ke rumah, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mengelakkannya daripada berulang,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Jalil, 60, amat bersyukur kerana tidak lagi perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Maklumlah, bila air masuk dalam rumah memang penat, letih. Wang pun banyak habis nak beli barang-barang rumah yang rosak.
“Terima kasih buat barisan JPKK di sini yang bertungkus lumus siang malam demi memastikan hasrat penduduk Taman Murni Permai tidak mengalami banjir kini menjadi kenyataan,” katanya.