MARANG – Seramai 60 pelatih Perkampungan Darul Barakah yang terjejas banjir menerima sumbangan barangan keperluan asas, hari ini.
Bantuan berkenaan disumbangkan Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pelatih di pusat pemulihan dadah secara holistik itu.
“Dilaporkan pelatih –pelatih di sini terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan kerana asrama mereka telah dinaiki air ketika banjir baru-baru ini.
“Sumbangan melibatkan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan lain-lain untuk kegunaan harian.
“Semoga sedikit sebanyak sumbangan ini dapatlah digunakan sebaiknya oleh pelatih ketika pasca banjir ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada pelatih terlibat banjir, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Buat masa ini kita akan tengok berkaitan kebajikan mereka kerana ada melibatkan portfolio, agensi dan jabatan yang lain.
“Kita akan bincang peringkat dalaman dahulu dan akan kenal pasti apa yang boleh diselesaikan,” ujarnya.