Home Berita PAS Terengganu

KHIDMAT Agih 5000 Pek Makanan

242
SHARE

Oleh : Pyang Mamat

DUNGUN – Sebanyak 5000 bungkus makanan diagihkan kepada mereka yang terlibat di Program Dapur Rakyat pada Misi Pasca Banjir di Dungun.

Pengarah Khidmat Malaysia (KM) Kemaman, Ustaz Syed Shahrunuddin Syed Mohd Sah berkata pek makanan tengahari tersebut diedarkan kepada mangsa banjir di Taman Rakyat Jaya dan kawasan sekitarnya.

“Gulai daging dan nasi ini kita masak di Kemaman dan dibawa ke sini untuk diagihkan kepada saudara kita yang terkesan akibat banjir tempohari.

“Seramai 100 orang sukarelawan dari Kemaman yang terlibat hari ini termasuk Muslimat dan Ameerah yang bertungkus lumus membungkus gulai dan nasi di bantu oleh petugas muslimin bersama 20 buah pacuan empat roda,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Surau Kampung Che Lijah yang dijadikan sebagai pusat pembungkusan pada Jumaat, 6 Disember lalu.

Misi itu juga turut melibatkan Pengerusi KM Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Haji Hanafiah Mat, Setiausaha KM Kemaman YB Mohd Hafiz Adam, Timbalan Pengarah, Zawawi Mohamed dan pimpinan PAS Kawasan Kemaman.

Pada masa yang sama, Shahrunuddin berkata dia dan pasukannya telah berada disitu semenjak 3 Disember lagi.

“Kami yang diberi tugasan oleh KM Negeri Terengganu kali ini supaya membantu daerah Dungun berulang alik dari Kemaman dalam Operasi Bersih tempohari bagi membantu mangsa bencana disini.

“Ucapan terima kasih yang tak terhingga saya kepada para sukarelawan yang tidak mengenal erti penat dan lelah. Kalian insan yang hebat.

“Tidak lupa juga kepada para penyumbang yang menyumbang dalam bentuk kewangan malahan tenaga, masa dan barangan untuk misi kali ini,” ucap beliau.

Khidmat Malaysia adalah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam membantu agensi kerajaan serta masyarakat Malaysia yang ditimpa bencana.