Home Berita PAS Terengganu

PAS Beristiqamah Memperkasakan Islam

21
SHARE

Minda Presiden PAS

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap beristiqamah memperkasakan Islam dan para pendukungnya yang setia. Mereka memahami kewajipan memimpin berpandukan Islam, bukan berlumba-lumba merebut jawatan atau peluang kekayaan. Inilah teladan yang telah ditunjuk oleh Rasulullah SAW yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk di sepanjang jalan.

PAS bukan kumpulan yang berlumba tergila-gilakan jawatan, pangkat, dan harta, atau menjadikan amanah yang wajib ditunaikan sebagai satu peluang mendapat habuan. Firman Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS:

۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘Dan (aku memohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]

Maka, bangsa Yahudi zuriat Ibrahim AS tidak layak memimpin kerana kezaliman dan ketamakan mereka.

Rasulullah SAW mengekalkan semua raja dan pemimpin yang menerima Islam yang sempurna serta menentang sesiapa yang menolak Islam, termasuk kuasa besar dunia.

Maka, kepimpinan Islam tidak layak kepada kalangan yang menjadikannya peluang untuk kehidupan diri dan puaknya sahaja atau perjuangannya secara munafiq, bukan kerana Allah.

Apabila Rasulullah SAW menawarkan Islam berkuasa memerintah negara kepada para pemimpin Arab, pemimpin Bani ‘Amir bertanya:

أَرَأَيْتَ إنْ نَحْنُ بَايَعْنَاكَ عَلَى أَمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللَّهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الْأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟

“Apa pandangan kamu jika kami mengikuti kamu, kemudian Allah memenangkan kamu ke atas orang yang memusuhimu, adakah kami akan mendapat kuasa selepas dari kamu?”

Rasulullah SAW pun menjawab:

‌الْأَمْرُ ‌إلَى ‌اللَّهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ.

“Perkara itu terserah kepada Allah yang menentukan. Dia yang menentukan sesiapa yang dikehendaki-Nya.” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jilid 1, Halaman 425]

Maka, Rasulullah SAW tidak menerima kerjasama bersama Bani ‘Amir, kerana meminta jawatan dianggap sebagai bukan menunaikan amanah.

Inilah konsep kerjasama PAS dengan semua pihak yang lain, kerana Rasulullah SAW menolak perjuangan yang tidak ikhlas bagi menegakkan agama Allah. Maka, PAS tidak terikat dengan mana-mana kumpulan yang bertujuan mengejar jawatan, bukan menegakkan Islam. Oleh itu, semua pihak yang bekerjasama dengan PAS tidak boleh menjadikan PAS laksana anak tangga untuk memanjat jawatan yang menjadi niatnya, bukan kerana menegakkan Islam dengan ikhlas, walaupun perjuangan PAS memakan masa yang panjang beberapa generasi berserta pengorbanan yang besar dari aspek harta dan jiwa raga.

Maka, mana-mana pihak yang mahu menjadikan PAS sekadar anak tangga untuk memanjat atau rumah tumpangan sementara, pasti akan tersingkir atau disingkirkan. PAS tidak mati dan tersungkur dalam sejarah kerjasamanya dengan semua pihak yang lain niatnya, sejak PAS mula dilahirkan sehingga kini.

Penentuan kemajuannya bukan sekadar kemenangan pilihan raya, tetapi hidupnya ialah perjuangan Islam yang ditegakkan. Pengikut PAS makin bertambah dan perjuangannya terus berjalan. Walaupun di negeri yang tidak ada kerusi yang dimenangi, ahli dan cawangannya tetap hidup. PAS bukan parti sekadar ada nama yang menumpang tanpa ahli dan cawangan sendiri.

Segala usaha untuk merobohkan benteng perjuangan Islam yang dibawa PAS semuanya gagal, sama ada usaha daripada pihak luar yang menentang Islam ataupun yang menyamar di dalamnya. Pasti akan kecundang melarikan diri membawa nasib yang hilang di dunia, sama ada yang bergayut menumpang parti lain ataupun menubuhkan parti sendiri bagi melawan PAS.

Rahsia kekuatan PAS terletak pada istiqamahnya bersama Islam berpandukan firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umatnya yang setia:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar (istiqamah), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112–113]

PAS berwawasan yang berkekalan daripada dunia hingga akhirat, bukan wawasan bermusim yang singkat atau sekadar dunia tanpa akhirat. Maka, PAS dan ahlinya yang setia tidak boleh dibeli dengan pangkat dan harta atau dibuli dengan ugutan dan ancaman. PAS tidak mati dengan kematian pemimpin. Istiqamahnya menjadikan PAS teguh tidak boleh digoncang oleh gelombang besar yang menghalang perjalanannya. Islamnya pula menjadikan PAS terus berkembang. Tanpa Islamnya, PAS juga menamatkan perjalanannya.

Baiah yang diucapkan kerana Allah menjadikan PAS bertahan sebelum adanya undang-undang lompat parti. Mereka yang melanggar baiah terbukti rebah perjalanan hidupnya. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠

“Bahawasanya, orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Maka, sesiapa yang melanggar baiahnya (janjinya), nescaya akibat dia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri. Dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.” [Surah al-Fath: 10]

PAS percaya kepada janji Allah yang berterusan, walaupun perjalanannya ada masa surut dan pasangnya. Pasangnya membuang sampah yang kotor, manakala surutnya pula membersihkan pantai sehingga mencapai kemenangan yang dijanjikan. Firman Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Semua kerja Islam ialah amal soleh, termasuk kerja politik adalah amalan yang paling mulia, yang dianggap kotor oleh mereka yang jahil agama. Allah mengkhususkan kerja politik menegakkan Islam berkuasa adalah berkekalan dan mesti mencapai kemenangan, di samping politik ialah pekerjaan paling mulia di sisi Allah yang dilakukan oleh semua anbiya’ pilihan Allah. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّـٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya di atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci. (9) Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih? (10) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (11) Nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (12) Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (13)” [Surah al-Saff: 9–13]

Inilah ketetapan Allah kepada perjuangan menegakkan Islam yang tidak berubah sejak Nabi Adam AS hingga Hari Kiamat. Lihatlah para rasul yang memimpin perjuangan Islam. Ada yang menyaksikan kemenangan pada masa hayatnya dan menjadi ketua negara atau tidak menjadi ketua negara. Ada yang wafat sebelum kemenangannya. Ada kalanya kemenangan diwarisi oleh beberapa generasi kemudiannya. Mati mengakhiri perjuangan juga dikira kemenangan yang besar. Hal ini menunjukkan mereka tidak mengejar jawatan, tetapi mengejar keredaan Allah.

Firman Allah SWT menceritakan ucapan Nabi Nuh AS:

فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَمَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٍۖ إِنۡ أَجۡرِيَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِۖ وَأُمِرۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ٧٢

“Jika kamu berpaling (daripada peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun daripadamu. Upahku tidak lain hanyalah daripada Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya).” [Surah Yunus: 72]

Firman Allah SWT:

ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ٢١

“Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu; dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah Yasin: 21]

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّا وَاللهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ، وَلَا أَحَدًا ‌حَرَصَ ‌عَلَيْهِ.

“Sesungguhnya, kami demi Allah, kami tidak melantik seseorang yang bernafsu rakus meminta jawatan atau menunjukkan bernafsu kepada jawatan!” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, No. 7149, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1733, daripada Abu Musa al-Ash‘ari. Lafaz bagi Muslim]

Allah tetap memelihara perjuangan Islam silih berganti walaupun bangsa Arab yang memulakannya mengejar kebendaan dan merebut jawatan ketua negara sehingga mereka berperang sesama sendiri. Firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir. Dan sesiapa yang kikir, sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya). Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Allah memberikan amaran ketika bangsa Arab yang mewarisi kemenangan dipengaruhi politik kebendaan, lalu melahirkan para pemimpin Islam daripada berbagai-bagai kaum dan bangsa yang menegakkan Islam.

Nasib yang sama menimpa bangsa Yahudi yang memilih raja yang mengajar harta. Firman Allah SWT:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]

Begitulah bangsa Yahudi yang dilaknat Allah hingga Hari Kiamat. Walaupun kaya-raya dan bijak akalnya, mereka dijauhkan daripada hidayah Allah.

Maka, Islam melarang ketua negara dan pihak yang memerintah terlibat dalam perniagaan agar dijauhkan daripada politik wang, lalu pihak yang mentadbir negara diperuntukkan sara hidup dengan pendapatan yang mencukupi. Ibn Khaldun RH menegaskan dalam karyanya al-Muqaddimah:

إن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا.

“Sesungguhnya kegiatan perniagaan daripada pihak yang memerintah negara itu membawa keburukan kepada rakyat jelata.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, Jilid 1 (al-Muqaddimah), Halaman 346]

Hal ini disebabkan berlakunya persaingan dan pertembungan kerajaan dalam kegiatan ekonomi yang membawa kesan negatif yang besar dalam pentadbiran negara, di samping hilangnya kehebatan kerajaan yang menjadi pengawas dalam kehidupan bermasyarakat.

Rasulullah SAW memberikan amaran mengenai tanda bencana kemusnahan umatnya, antaranya ialah:

إِذَا كَانَ ‌المَغْنَمُ ‌دُوَلًا، وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا، وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا…

“Apabila harta kekayaan berpusing dalam kalangan tertentu, amanah (memerintah negara) dijadikan peluang mendapat harta, dan zakat dianggap sebagai cukai (bukan lagi ibadat)…” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2210, daripada ‘Ali bin Abi Talib]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Jumada al-Akhirah 1446 / 4 Disember 2024

[Bil: 53 / 2024]