KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.
Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir.
Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi.
Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.
Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.
Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.
Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia.
Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.