Home Pahang

Wanita inspirasi di sebalik tabir

175
SHARE

YB Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar (ADN Tanjung Lumpur) dan YB Dato’ Andansura Rabu (ADN Beserah) telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’. Anugerah ini dikurniakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang berlangsung pada 12 September 2024, sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-65​.

Menerima anugerah Dato’ daripada Sultan Pahang merupakan satu pengiktirafan yang luar biasa. Ia bukan sahaja mencerminkan pencapaian seorang pemimpin, tetapi juga menunjukkan kekuatan dan sokongan yang ada di belakang mereka — wanita hebat yang menjadi tulang belakang kejayaan ini. Dalam wawancara eksklusif bersama isteri YB Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar dan isteri YB Dato’ Andansura Rabu, kita mendalami peranan penting mereka dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya suami masing-masing.

Soalan untuk Datin Fatimah Khalid, isteri kepada YB Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar

  1. Wartawan: Bagaimanakah perasaan datin apabila suami datin, sebagai YB pembangkang, telah diiktiraf oleh Sultan dan dianugerahkan gelaran Dato’?

Isteri : Saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan yang diberikan oleh Tuanku kepada suami saya dan saya anggap ini adalah satu penghargaan terhadap pengorbanan beliau yang sentiasa membantu masyarakat terutama di DUN Tanjung Lumpur. Beliau sememangnya aktif dalam membantu masyarakat sebelum menjadi wakil rakyat lagi tidak kira dalam negara atau luar negara, apa jua musibah yang melanda, dia akan pergi untuk membantu.

Beliau begitu aktif dalam PAS sebelum saya berkahwin dengannya, dan sudah pasti selepas menjadi wakil rakyat beban kerjanya menjadi semakin bertambah dan semakin berat, yang memerlukan sokongan dari saya kerana ianya sangat menuntut pengorbanan bukan sahaja diri beliau malahan saya sebagai isterinya pun perlu berkorban dan menerimanya dengan rasa redha dengan apa jua kepayahan yang mendatang.

  1. Wartawan: Apakah cabaran dan sokongan yang datin berikan sepanjang perjalanan karier politik YB Dato’?

Isteri : Tugas sebagai isteri pemimpin bukan mudah, selain menjaga keluarga, saya  juga perlu memahami jadual kerja yang sibuk dan memberi sokongan tanpa henti. Tugas dan tanggungjawabnya yang penting iaitu sebagai wakil rakyat, Pesuruhjaya PAS Pahang dan sebagai ketua keluarga supaya dapat dibahagikan dengan sebaik mungkin. Di samping itu, beliau juga memegang beberapa jawatan lain seperti Pengerusi Maahad Darul Fikri, Pengerusi surau dan komitmen juga dengan jadual kuliahnya di masjid dan surau, jadi masanya memang agak terbatas,namun saya tidak melihat dia mengabaikannya. Kadang-kadang, masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan demi tanggungjawab kepada masyarakat.

Saya percaya, setiap kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita yang kuat di belakangnya. Peranan sebagai isteri pemimpin, mungkin tidak terlihat di mata orang ramai, tetapi ia amat penting dalam memastikan kelancaran tugas suami.

Penutup oleh Wartawan : Sebagai wartawan rakyat, saya Khaulah al-Azwar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada datin, kerana telah meluangkan masa, memberi kerjasama dan pandangan dan pastinya akan memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.

Soalan untuk Datin Nor Azni Wahab, isteri kepada YB Dato’ Andansura Rabu

  1. Wartawan: Bagaimana perasaan datin sebagai Isteri YB yang dianugerahkan Gelaran Dato’?

Isteri : Sebagai isteri, saya amat bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan kepada suami saya. Anugerah gelaran Dato’ ini bukan sahaja satu penghormatan kepada beliau, tetapi juga satu pengiktirafan terhadap usaha keras dan sumbangan beliau dalam politik dan masyarakat, walaupun berada di pihak pembangkang. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa keikhlasan, kerja keras, dan prinsip yang dipegang sentiasa dihargai, tanpa mengira kedudukan politik.

  1. Wartawan: Apakah cabaran dan sokongan datin sepanjang perjalanan karier politik YB Dato’?

Isteri : Sebagai isteri seorang ahli politik, cabarannya adalah memastikan keseimbangan antara keluarga dan kerjaya beliau. Kadang-kadang masa untuk keluarga agak terhad kerana beliau sibuk dengan urusan rakyat. Selain itu, kritikan dan cabaran yang beliau hadapi sebagai ahli politik pembangkang memerlukan kami sekeluarga sentiasa tabah.

Tidak mudah untuk menjadi tulang belakang kepada seorang pemimpin, tetapi dengan doa dan usaha, segalanya dapat diatasi, Insya-Allah.

Saya menyokong beliau dengan menjadi pendengar yang setia, memberikan sokongan moral, dan memastikan keluarga menjadi tempat beliau berehat dan mendapatkan kekuatan. Saya juga membantu menjaga keharmonian keluarga agar beliau dapat fokus kepada tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.

Penutup oleh Wartawan : Sebagai wartawan rakyat, saya Habsah Ali mengucapkan terima kasih kepada datin di atas kesudian meluangkan masa untuk menjawab wawancara ini semoga pandangan dan pengalaman yang dikongsikan dapat memberi inspirasi serta panduan berguna kepada masyarakat dalam memahami peranan dan sumbangan seorang isteri pemimpin.

Ulasan dari wartawan Rakyat – Inspirasi kepada Wanita Lain

Wawancara ini bukan sahaja membuka mata tentang peranan isteri pemimpin, tetapi juga memberi inspirasi kepada wanita lain untuk terus menyokong pasangan mereka dalam apa jua keadaan. Kejayaan bukan milik individu semata-mata, tetapi hasil kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, terutamanya keluarga

Sememangnya, lelaki hebat tidak akan berjaya tanpa kehadiran wanita yang hebat di sisi mereka. Kisah ini menjadi bukti bahawa di sebalik setiap kejayaan besar, terdapat pengorbanan dan cinta tanpa syarat yang membentuk asas kejayaan tersebut.