Home Berita PAS Terengganu

Wan Hassan kecewa MRSM Dungun gagal siap ikut jadual

14
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli melahirkan rasa kecewa atas kegagalan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun disiapkan mengikut jadual Lanjutan Masa Ketiga (EOT 3) iaitu pada 25 Ogos 2024.

Wan Hassan berkata, setakat Julai 2024 pembinaannya telah mengalami kelewatan dengan peratus pencapaian kemajuan fizikal semasa baru mencapai 79.03 peratus, berbanding 97.24 peratus yang dijadualkan.

“Lanjutan masa terkini iaitu kali ke-4 adalah pada 14 Julai 2025, iaitu tidak sampai setahun dari sekarang,” ujarnya.

Rasa kecewa itu disampaikannya ketika membahas Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.

Beliau juga memohon penjelasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan perkara berkenaan.

“Sejak Julai ketika peratus kemajuan fizikal yang disebutkan tadi diumumkan, apakah terdapat sebarang kemajuan terhadap peratus berkenaan dan adakah sudah ada cadangan supaya diberikan kuota khusus juga kepada pelajar-pelajar di Dungun yang ingin memasuki MRSM  Dungun ini?,” soalnya lagi.

Berdasarkan rekod Lawatan Pemantauan Healthcheck oleh Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu ke tapak MRSM Dungun pada Julai lalu, antara punca yang dikenalpasti menyebabkan kelewatan adalah kesukaran daripada pihak kontraktor untuk mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi kerja-kerja pembinaan di tapak dan isu kelewatan kelulusan pengalihan kabel daripada pihak TNB.

Walaubagaimanapun, pihak kontraktor sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah pekerja dan memastikan kemajuan projek kembali mengikut jadual. PPNT juga telah mencadangkan supaya satu sesi libat urus dilaksanakan bersama pihak TNB bagi membincangkan tentang isu pengalihan utiliti.