KUALA TERENGGANU – Seorang penjual buah yang ditangkap kerana tidak menunaikan solat Jumaat dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan akibat kelalaiannya melaksanakan kewajipan itu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu, Mat Ropi Busu selepas tertuduh, Amar (bukan nama sebenar), 44 tahun gagal membayar denda sebanyak RM3,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 (Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, hari ini.
Tiga lagi rakan tertuduh yang ditangkap dalam kejadian sama, masing-masing berusia 54 tahun, 17 tahun dan 48 tahun membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, keputusan dan hukuman yang diputuskan mahkamah seharusnya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
“Jangan disebabkan kita inginkan keuntungan yang sedikit dari jualan sehingga kita sanggup dapat kemurkaan Allah SWT. Saya menyeru kepada semua lelaki yang mukallaf, khususnya penjaja/peniaga yang menjual pada waktu solat Jumaat, kembalilah pada Allah SWT untuk solat dahulu, kemudian teruskan perniagaan dan aktiviti lain.
“Kami (Bahagian Penguatkuasaan, JHEAT) juga mengalu-alukan aduan berkaitan mana-mana peniaga lelaki yang menjual pada waktu solat Jumaat, supaya pihak kami dapat ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Amar bersama-sama tiga lagi rakannya ditangkap oleh penguatkuasa JHEAT ketika sedang berniaga di sebuah gerai buah di Sungai Tong kira-kira jam 2.00 petang pada pertengahan Julai lalu.