Home Berita PAS Terengganu

TIS 2024: Terengganu Curi Tumpuan Dunia Islam

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, sekali lagi membuktikan keupayaan negeri Terengganu sebagai pencetus dialog global dan penggerak penyatuan umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah besar dalam menonjolkan peranan Terengganu di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, ini adalah tahun kedua kita berjaya melaksanakan sidang ini, jika tahun lalu kita mengetengahkan tema ‘Fiqh Hidup Bermasyarakat’ sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

“Tahun ini kita tampil dengan tema yang lebih besar ‘Penyatuan Umat’, TIS 2024 menonjolkan mesej solidariti, khususnya dalam konteks krisis Palestin yang memerlukan kerjasama seluruh umat Islam.

“Tema ini dipilih kerana kita mahu menyatukan umat, terutama dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Wacana Daie Kontemporari di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah Muhammad Khalil, TIS 2024 menyerlahkan prestijnya dengan kehadiran tokoh-tokoh terkemuka tempatan dan antarabangsa.

“Kita amat berbesar hati menerima negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta tokoh-tokoh Islam dari Oman, Rusia, Turki, Indonesia, dan Filipina.

“Kehadiran mereka menambah kredibiliti dan tarikan kepada program ini.

“Respon peserta sangat positif, dan kita telah merumuskan beberapa keputusan penting untuk tindakan susulan,” ujar beliau.

Muhammad Khalil menekankan bahawa TIS 2024 bukan sekadar dialog, tetapi pemangkin kepada hubungan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri dan rakyat Terengganu.

“Hasil ‘engagement’ tahun lalu dengan Kesultanan Oman telah berjaya membawa pelajar Terengganu melanjutkan pengajian ke sana dengan tajaan biasiswa penuh.

“Ini adalah satu pencapaian besar. Kita berharap lebih ramai pelajar Terengganu dapat dihantar ke Oman pada masa akan datang,” jelasnya.

Selain itu katanya, kerjasama dengan Oman juga membuka peluang ekonomi menerusi pelaburan dalam sektor minyak dan gas.

“Selain Oman, hubungan dengan Turki turut mendapat perhatian apabila penasihat Menteri Pendidikan Turki hadir pada sidang kali ini.

“Kita bercadang menghantar pelajar ke Turki dengan tajaan biasiswa, selain membuka peluang pelajar Turki mengikuti kursus singkat Bahasa Inggeris di Terengganu ini.

“Ini peluang besar untuk mempromosikan Terengganu dan menjalin hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya penuh optimis.

Dr. Khalil turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan TIS 2024, termasuk Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) serta jabatan kerajaan, agensi, dan sukarelawan.

“Kerjasama erat semua pihak memastikan kejayaan sidang ini.

“Insya-Allah, kita harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat di masa akan datang,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur.

Beliau optimis bahawa engagement antarabangsa ini akan membuka lebih banyak peluang untuk Terengganu dalam bidang dakwah, ekonomi, pendidikan, dan sosial.

“Kami mahu TIS menjadi jambatan penyatuan umat Islam di peringkat global. Mudah-mudahan usaha ini diberkati Allah SWT,” katanya.