Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Konsisten Seru Penyatuan Ummah

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu konsisten memanfaatkan kudrat yang termampu dalam melontarkan suara menyeru ke arah penyatuan ummah di kalangan dunia Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, justeru itu Persidadngan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 mengangkat satu tema yang sangat besar ertinya iaitu penyatuan ummah.

“Mungkin ada terfikir dalam diri kita, apalah sangat yang mampu dilakukan di peringkat negeri Terengganu? samalah juga sebagaimana yang kita fikir apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menjatuhkan hukuman tangkap ke atas penjenayah perang, Benjamin Netanyahu, apa yang mampu dilakukan?

“Ini kerana negara haram Israel sebenarnya menguasai sistem politik, ekonomi dan undang-undang antarabangsa pada ketika ini.

“Namun begitu kita perlu melihat ke hadapan. Keputusan itu memberikan satu impak yang sangat besar kepada politik, samalah juga apabila kita bicara tentang penyatuan ummah.

“Perkara baik dalam Islam mempunyai barakahnya, walaupun ia kecil. Apabila kita sering membicarakannya, berusaha dengan segala keringat yang ada, InsyaAllah, Allah Taala akan memberikan jalan keluar dan memberi natijah yang sepatutnya pada masa yang ditetapkan-Nya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup TIS 2024 di Duyong Marina & Resort, semalam.

Persidangan selama sehari itu menampilkan lima pembentang utama dari luar negara iaitu Oman (Syeikh Ahmed Saudi Al-Siyabi), Rusia (Anuar Birgalin Azamatovich), Turkiye (Ustaz Atid Agdag) dan Indonesia (Dr. Hurriyah El Islamy).

Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil turut mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada cendekiawan dari pelbagai negara yang hadir ke bumi Terengganu dan memberikan idea serta pandangan dalam menjayakan TIS 2024.

“Mewakili pihak penganjur saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak samada terlibat secara langsung atau tidak dalam perisdangan kali ini, semoga Allah SWT memberkati kalian dan mengurniakan balasan pahala atas segala usaha yang kita lakukan,” katanya.