KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hairan dan pelik dengan golongan liberal yang tidak agresif menentang sekatan kebebasan bersuara berbanding kelantangan luar biasa mereka menentang pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, terlalu banyak perkara berlaku dalam negara yang sewajarnya perlu diperjuangkan oleh golongan terbabit.
“Kalau kita hendak bercakap soal perundangan di sana banyak lagi undang-undang selain Islam yang lebih zalim dan menindas sebagai contoh berkait dengan kebebasan bersuara.
“Secara umumnya kita melihat kebebasan bersuara di zaman madani ini mereka hanya cakap kosong, berjanji memperjuangkan demokrasi, kebebasan bersuara tetapi mereka menekan dengan pelbagai akta dan undang-undang 3R sehingga rakyat tidak diberikan kebebasan bersuara yang sepatunya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR Padang Hiliran, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu melaksanakan hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang adalah kerana hendak menegakkan hukum Islam dan menjalankan kewajipan serta tuntutan agama.
“Tidak sepatutnya golongan tertentu melabelkan Terengganu sebagai negeri Taliban.
“Saya sangat dukacita dengan kenyataan-kenyataan begini sedangkan kita sebagai orang Islam bersifat terbuka dengan apa yang bakal dilaksanakan oleh negeri Terengganu ini, ini tanggungjawab orang Islam untuk terus memperkasakan agama kita.
“Ia juga selari dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” ujarnya.
Tegasnya, apa yang lebih utama untuk difikirkan oleh golongan pejuang kebebasan ialah hak untuk bersuara yang disekat oleh kerajaan madani.