KUALA TERENGGANU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan 2024 pada bacaan kali ketiga, menandakan langkah signifikan dalam meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim, telah mencadangkan Rang Undang-Undang tersebut yang bertujuan untuk meminda subseksyen 9(iii) enakmen berkenaan.
“Pindaan ini akan membolehkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai badan yang layak menerima pemindahan pegangan tanah Melayu.
“Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda subseksyen 9(iii) Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360, supaya Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai entiti yang layak untuk menerima pemindahan pegangan tanah Melayu,” jelasnya.
Dr. Azman membentangkan Rang Undang-Undang ini dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri.
“Saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360 ini dibaca sebanyak tiga kali,” katanya.
Cadangan tersebut turut disokong oleh ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim.
Selepas perbahasan, Rang Undang-Undang ini diluluskan sebulat suara dan akan berkuat kuasa sebagai pindaan kepada Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360.