KUALA TERENGGANU – Terengganu International Summit (TIS) boleh diangkat sebagai salah satu agenda strategik negara untuk dilaksanakan bagi membangunkan solusi-solusi dalam berbagai isu yang sedang dihadapi oleh ummah.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepimpinan negara wajar memulakan langkah seterusnya untuk menggerakkan kempen dan lobi yang lebih spesifik.
Katanya, usaha itu perlu untuk mencapai matlamat ummah ini, dengan dimulai di kalangan negara umat Islam yang mempunyai kefahaman yang hampir sama terlebih dahulu.
“Kita mungkin menjadi ‘opinion leader’ and ‘policy makers’ kepada negara masing -masing, sehingga agenda besar ini mampu diangkat sebagai salah satu ‘national strategic’ agenda.
“Ya benar bahawa pada hari ini kita tidak ada kuasa
seperti mereka yang bernegara, dan kita tidak ada dana yang besar sebagaimana kumpulan pelobi Barat.
“Tetapi kita mempunyai kesedaran, kefahaman,
semangat dan daya juang untuk terus berusaha, membawa perkara ini sebagai sumber penyatuan ummah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Terengganu International Summit di Duyong Marina Resort di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, segala unsur-unsur yang membawa kepada pertembungan dan persengketaan sesama umat Islam, wajar dikendurkan dan dineutralkan terutamanya
pertembungan yang merugikan diri sendiri.
“Sudah tentu kepentingan agenda ummah ini adalah lebih besar dari segala kepentingan yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam kini berdepan dengan dunia yang sangat ganas dengan isu kekejaman dan kezaliman di Palestin [yang disebut oleh Negara Barat sebagai penghapusan etnik (ethnic cleansing)], cabaran Islamophobia, kecelaruan dan serangan pemikiran terhadap umat Islam dan sebagainya.