KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant perlu ditangkap dan dibicarakan, bahkan wajar dikenakan hukuman ‘gantung sampai mati kerana jenayah perang di Gaza.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menyokong keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua Zionis itu.
“Ini penjenayah perang. Dia, Netanyahu dan Gallant adalah penjenayah. Dia (bredua) telah melakukan pembunuhan.
“Pembunuhan satu orang pun adalah jenayah (tetapi) dia telah membunuh 44,000 orang Islam. Ini penjenayah besar, yang patut dihukum gantung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2024 di sini hari ini.
ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel terhadap Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.