Home Berita PAS Perak

UEC bercanggah Dasar Pendidikan Kebangsaan

46
SHARE

UEC bercanggah Dasar Pendidikan Kebangsaan

“Gerakan perlu menumpukan perhatian menarik pengundi bukan melayu khasnya Cina berbeza dengan cara dan perjuangan DAP.” Demikian respon Haji Razman Zakaria terhadap kenyataan balas Dominic Lau, Presiden Gerakan. Sesiapa sahaja yang bernada DAP dalam perjuangan PN sepatutnya menilai diri dan kedudukan mereka. Perjuangan PN bermatlamat melahirkan warga yang setia terhadap negara dan menjunjung aspirasi penubuhan Malaysia ke arah kesatuan bangsa. UEC bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merupakan sebahagian perjuangan PN.

“DAP cuba merungkai aspirasi ini dengan perjuangan Malaysian Malaysia dan negara Sekular. Negara kita secara jelas meletakkan agama negara adalah Islam dan bukan sekular. Negara juga memperuntukkan secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Saya lihat usaha mengiktiraf UEC adalah sebahagian jalan merungkai apa yang telah dipertahankan dalam konsep pembinaan negara Malaysia. Paling jelas UEC berkiblatkan silibus pendidikan Taiwan dengan menafikan Bahasa Melayu dan Sejarah negara yang menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bagaimana kita perlu mengiktiraf sesuatu yang tidak memenuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.” tambah beliau.

Dalam sistem negara kita, bukan hanya pelajar perlu mengambil SPM tetapi juga mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah sedangkan kedua dua elemen ini tidak diberi penekanan dalam UEC. Ke mana kita nak bawa masa depan negara dan pewaris kepimpinan. Ini akan semakin melebarkan jurang perkauman. Sudahlah mereka dipisahkan melalui sekolah Vernakular, kini seakan mahu diiktiraf pemisahan secara jelas dan meninggalkan langsung asas pembinaan negara Malaysia melalui pendidikan.

Ketika di tanya tentang Gerakan beliau menjelaskan “Gerakan mesti berperanan memecahkan dominasi DAP terhadap kaum Cina tetapi melalui aspirasi perjuangan Perikatan Nasional. Susahlah kalau Presiden parti pun tak paham perjuangan kita dalam PN. PN berusaha menyatukan rakyat negara ini melalui dasar yang telah di bentuk untuk membangunkan negara. Kewujudan pelbagai parti dalam PN untuk menyatukan rakyat. Berbeza dengan PH yang membawa agenda kepentingan masing masing untuk memerintah melalui konsep “pecah dan perintah”. Sebab itulah kita sangat marah apabila ada usaha mencabar kedaulatan negara dengan mengibarkanbendera asing dalam perhimpunan di negara kita” katanya.

Razman mengakhiri temubual ringkas dengan berpesan, “Negara ini adalah pusaka yang ditinggalkan kepada kita. Kita telah banyak merungkai wasiat dari pusaka ini. Seluruh bangsa mesti menjaga persefahaman yang telah dimetrai ketika generasi awal saling berkorban bagi mempastikan negara ini mencapai kemerdekaan bersama. Jika kita gagal mempertahankannya negara akan musnah. Pak Teh takkan biarkan.”