Oleh : Fatimah Din/Abdul Fattah Kamarudin
MARANG – Setelah sekian lama menanti untuk mendapatkan tanah, tahun ini menjadi rezeki buat rakyat di daerah ini apabila dipanggil bagi undian menentukan lot tanah yang diterima.
Norhayati Zakaria, 32, berkata dia mula memohon pada tahun 2018 dan hari ini menjadi sejarah yang begitu bermakna dalam hidupnya.
“Sebelum ini ayah saya ada mohon, tapi tak dapat, hari ni alhamdulillah rezeki nama saya tersenarai untuk undian lot rancangan tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang.
“Dalam adik beradik, saya seorang saja dapat, adik beradik yang lain belum, jadi saya bersyukur,” katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI Daerah Marang.
Manakala, Harun Ismail pula berkata dia juga mula memohon dari tahun 2018.
“Saya mohon tanah ini melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung), sebab mereka tahu saya anak ramai, jadi mereka memudahkan saya.
“Dengan tanah ini nanti bolehlah saya buat apa yang patut, tunggu punya tunggu sekarang baru dapat, lagipun Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong pun dah maklum tadi pelbagai kekangan yang ada dan perlu melalui beberapa proses untuk pembahagian lot tanah ni.
“Saya merupakan generasi kedua yang dapat tanah, selepas mak saya dulu pernah dah dapat, terima kasih sangat Yang Berhormat Ustaz Sulaiman dan JPKK dan seluruh yang terlibat,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, seramai 179 orang penduduk menjadi penerima dalam majlis Undian Lot Rancangan Tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang pada kelmarin.