Home Berita PAS Terengganu

Terengganu jadi Negeri pertama miliki Pejabat Satelit MyIPO

46
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu menjadi negeri pertama memiliki Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang beroperasi di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Pengerusi MyIPO, Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pembukaan pejabat satelit pertama itu akan memudahkan rakyat Terengganu khusunya kalangan usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan harta intelek.

Katanya, dengan adanya kemudahan itu, pemilik harta intelek di negeri ini tidak lagi perlu ke pejabat MyIPO di Kuantan, Pahang bagi membuat pemfailan.

“Kita akan buka pejabat di setiap negeri dan kita akan mengorak langkah pertama di Terengganu sebelum disusuli negeri-negeri lain.

“Untuk Terengganu, kita bekerjasama dengan YPU di bawah kerajaan negeri bagi menjalankan operasi pejabat satelit dan kita jangka pendaftaran ini akan meningkat berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pejabat Satelit MyIPO Kuala Terengganu dan penyampaian sumbangan zakat di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, didapati masih banyak hak cipta dan hasil karya dari Terengganu yang selama ini belum didaftarkan.

“Dengan adanya kemudahan ini, ia sekali gus boleh dimanfaatkan oleh lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU.

“Sejak 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 1418 permohonan harta intelek dari negeri Terengganu diterima dan ia sebenarnya mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,”ujarnya.