Home Berita PAS Pahang

Tayar bas pecah, muslimat PAS berpecah

18761
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 10 Nov – Seramai 42 orang muslimat PAS terpaksa berpecah bila tayar bas yang dinaiki pecah di kilometer 18 Lebuhraya Pantai Timur di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang, menyebabkan bas terpaksa berhenti di bahu jalan untuk keselamatan.

Menurut pemandu bas, tayar belakang bas itu pecah secara tiba-tiba, namun beliau berjaya mengawal kenderaan dan memberhentikannya tanpa sebarang kecederaan berlaku kepada penumpang.

“Alhamdulillah muslimat PAS memang hebat, walaupun diuji masih tetap ceria dan cepat bertindak mencari alternatif untuk selesaikan masalah,” kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salbiah Seeni Abdul yang menaiki bas tersebut.

“Muslimat terpaksa berpecah menaiki kenderaan lain mengikut destinasi masing-masing dengan adanya sikap tolong menolong dan bertolak ansur di antara satu sama lain,” tambah beliau lagi.

Rombongan bas tersebut telah menghadiri Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS yang diadakan di Kerdau Temerloh hari ini.

“Program yang kami hadiri tadi, telah memberi suntikan motivasi kepada kami, oleh itu kejadian yang berlaku ini tidak mematahkan semangat kami, bahkan menguatkan lagi ukhuwah di antara kami untuk terus berjuang dalam jemaah ini,” kata Salmah Salleh muslimat dari Balok Perdana.