Home Berita PAS Terengganu

Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri ditutup sementara bermula 1 November

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu akan menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, laluan pendakian termasuk aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini bermula 1 November baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, penutupan selama empat bulan berikutan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh.

Menurutnya, antara yang terlibat adalah Taman Eko Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk di Dungun, Lata Tembakah dan Lata Belatan (Besut), Sekayu (Hulu Terengganu), Lata Payung (Setiu) dan Air Menderu (Kemaman).

“Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti.

“Penutupan itu bermakna tiada aktiviti perkelahan, pendakian dan rekreasi dibenarkan di kawasan terbabit, susulan musim tengkujuh yang dibimbangi boleh menyebabkan kejadian kepala air dan membahayakan pengunjung,” katanya kepada pemberita.

Tambah Razali, penutupan turut dilakukan di kawasan rekreasi yang berisiko sepanjang musim tengkujuh

“Mana-mana individu yang melanggar arahan ini boleh disabitkan kesalahan dibawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.

“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya.