Home Berita PAS Terengganu

Festival kaligrafi Islam kebangsaan kembali martabatkan seni khat

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat  warisan khat terus diperkasakan di Terengganu.

Katanya, ia juga memberi ruang kepada orang ramai menonjolkan bakat serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni tulisan Islam yang kian dilupakan.

“Objektif utama festival ini ialah memberi ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah untuk menyerlahkan bakat serta kemampuan mereka melalui pertandingan yang dianjurkan.

“Di samping menghargai kesenian Islam iaitu tulisan khat supaya tidak luput ditinggal zaman dan mengenalpasti pelapis yang setaraf dengan penulis-penulis antarabangsa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, pada hari ini.

Menurutnya program tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT).
Katanya, seramai 245 orang penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menyertai festival itu.

Ujarnya, pertandingan berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu penulisan khat spontan terbuka dewasa, penulisan khat spontan rendah dan menengah serta penulisan karya siap khat kanvas dan khat batik.

“Cetusan idea festival ini pada tahun ini adalah dicetuskan oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sendiri supaya diadakan bagi kita menghidupkan kembali aktiviti ataupun penghayatan seni khat terutama di kalangan masyarakat di seluruh Malaysia.

“Pengisian program kali ini ialah kita jemput pakar dari Arab Saudi dalam slot Bengkel Khat Thuluth yang disampaikan oleh Al Mukarram Tn. Abd. Abd Al-Majid Muhammad Abdullah Al-Ahdal dan sebelah petang kita ada bengkel iaitu kaligrafi khat Arab-China,” ujarnya.

Beliau menambah, karnival ini merupakan kali ketiga diadakan di peringkat kebangsaan dan selepas 2012 dan pada tahun 2014.

Negeri Terengganu juga jelasnya pernah menjadi tuan rumah di peringkat antarabangsa.

Lothman menambah, bagi menarik minat generasi muda terhadap seni khat, JPINT dalam usaha menubuhkan kelab kaligrafi di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah pentadbiran mereka, termasuk di 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).

“Sekarang ini kita ada lebih kurang 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan memperkenalkan di kalangan  anak-anak pelajar  yang masih di sekolah rendah untuk tanam  minat mereka dari segi khat,” katanya.

Tambah Lothman lagi, JPINT akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Muzium Negeri Terengganu, SUK, dan jabatan-jabatan berkaitan untuk memperkenalkan seni khat kepada masyarakat umum.

“Mungkin selepas daripada ini perancangan JPINT akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar terutama dengan pihak sekolah melalui pejabat Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga melalui agensi-agensi yang melibatkan masyarakat luar,” katanya.