Home Berita PAS Terengganu

Lidah Bersama Palestin, HATI Bersama Zionis

25
SHARE

Majoriti negara Arab dan Islam, termasuk Kerajaan Malaysia membuat kenyataan tegas bersama dengan Palestin yang menjadi mangsa kezaliman paling kejam dalam sejarah manusia. Dikatakan, kitalah yang paling berani membuat kenyataan berdegar-degar menentang keganasan Zionis yang tidak berperikemanusiaan dan tidak tunduk kepada Amerika Syarikat dan penyokongnya yang paling kuat dan berpura-pura.

Namun begitu, ada sebahagian negara mengambil langkah mendukung polisi Amerika Syarikat dan sekutunya yang kononnya menjadi juara pendamai. Pada masa yang sama, mereka juga menjadi juara membantu negara haram Israel dengan senjata pembunuh paling banyak dan bertali arus serta menjadi imam yang diaminkan di belakangnya oleh negara-negara tersebut, sama ada dengan bersuara mahupun secara bersembunyi.

Lidahnya bersama rakyat Palestin, tetapi hatinya diletakkan ke dalam perut yang menjadi penentu kepentingan kebendaan hidup yang sentiasa menagih kewangan demi mengekalkan kerusi kuasa yang menjadi roh perjuangannya.

Negara-negara besar yang dipengaruhi oleh Zionis boleh menentukan siapa pemimpin melalui demokrasi yang disokong oleh politik wang dan media bebas. Maka, sokongan kepada Israel menjadi pilihan semua calon pemimpin dunia yang sedang hanyut dan sesat kemanusiaan mereka, sehingga tidak mampu bertindak terhadap Zionis yang boleh membuang segala perutusan ke dalam tong sampah, termasuk perkara yang berkaitan hak asasi manusia dan keadilan undang-undang antarabangsa. Israel boleh mengarah mereka, bukan mereka yang mengarah Israel.

Banyak negara Arab dan Islam mengadakan normalisasi politik, ekonomi, dan kebudayaan dengan negara Israel. Bahkan, ada yang mengisytiharkan secara terbuka atas nama perdamaian dan ada yang bersembunyi kerana takut terhadap protes rakyat.

Keadaan ini menunjukkan hilangnya sifat kemanusiaan dan lebih teruk daripada kebinatangan kerana manusia itu berakal dan bijak dalam segala-galanya, termasuk melakukan kejahatan dan kezaliman. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya, Kami menjadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Sikapnya dapat disaksikan melalui perasaannya yang tidak dapat disembunyikan. Berkabung apabila raja atau pemimpin negara di bawah Zionis yang pernah menjajah meninggal dunia, tetapi tidak ada sedikit pun perasaan sedih yang dilahirkan apabila pemimpin pejuang Palestin atau negara dan kumpulan yang membantu perjuangan Palestin gugur syahid.

Di mana perasaan keimanan yang menjalinkan persaudaraan sesama umat dan sifat kemanusiaan yang menentang kejahatan yang ditolak oleh fitrahnya? Amaran Allah SWT dalam firman-Nya:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan.” [Surah Hud: 113]

Sangat memalukan apabila ada dalam kalangan negara bukan Islam di Amerika Latin, Asia, dan Afrika membatalkan hubungan diplomatik dan perdagangan terhadap Israel.

Ada yang sedang menunggu pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, hanya menunggu dua wajah gambar sekeping dolar yang sama nilai harga duit, ekonomi, dan politiknya yang menjadi ukuran dan neraca pertimbangan semua negara tumpangan. Kiblat ibadat para pemimpinnya ketika beribadat solat, haji, dan umrah menghadap ke Makkah. Adapun politik dan ekonominya tetap ke arah Amerika Syarikat dan Eropah.

Sebenarnya, umat Islam dilanda wabak yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

“يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا”، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: “بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ”، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: “‌حُبُّ ‌الدُّنْيَا، ‌وَكَرَاهِيَةُ ‌الْمَوْتِ”.

“Tiba masanya umat pelbagai kaum dan agama berhimpun untuk mengepung kamu bagi merampas hak kamu, laksana mereka yang berhimpun di keliling makanan yang lazat untuk dimakan dengan rakus.” Lalu salah seorang sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Bahkan, kamu sangat ramai jumlahnya bilangannya, tetapi laksana buih dan sampah sarap yang dihanyutkan oleh banjir. Allah mencabut rasa hebat musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam diri kamu penyakit al-wahn (hina dan lemah).” Seorang sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah penyakit al-wahn?” Baginda menjawab, “Terlalu sayang akan dunia dan benci akan kematian.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22397, daripada Thauban bin Bujdud. Lafaz bagi Abu Dawud]

Antara mukjizat kerasulannya, Baginda SAW diberitahu oleh Allah mengenai musibah yang menimpa umat Islam pada akhir zaman. Namun, Allah memberitahu dalam al-Quran bahawa munculnya kumpulan Islam yang tetap berwala’ (setia kepada Allah dan Rasulullah SAW). Firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 55–56]

Adanya kumpulan umat Islam yang berwala’ (setia kepada Allah dan Rasul-Nya SAW), menunjukkan adanya juga kumpulan penganut Islam yang menunjukkan kesetiaannya kepada musuh Islam seperti Yahudi, Kristian, dan Musyrikin yang melanggar larangan Allah.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَكُمۡ هُزُوٗا وَلَعِبٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِيَآءَۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٥٧

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil kalangan yang dijadikan pemimpinmu, orang-orang yang menjadikan agamamu menjadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) antara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelummu dan orang-orang yang kafir (orang-orang Musyrik)! Dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.” [Surah al-Ma’idah: 57]

Firman Allah SWT:

۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu); sebahagian daripada mereka ialah pemimpin bagi sebahagian yang lain! Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya, orang itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Ma’idah: 51]

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang! Padahal sesungguhnya, mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu. Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku, (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu sembunyikan dan apa-apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya, dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]

Larangan Allah terhadap mereka yang beriman lebih besar padahnya kepada kerajaan yang memerintah tanah air umat Islam dan mereka yang mendukung kerajaan itu dengan sokongan melantik para pemimpin yang khianat terhadap Islam. Bermakna, mereka juga berkhianat terhadap Allah dan Rasulullah SAW.

Pemerintahan negara ialah ujian Allah kepada manusia dalam kehidupan dunia yang akan dihisab pada Hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya sahajalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Jamadilawwal 1446 / 4 November 2024

[Bil: 49 / 2024]