Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 1 Nov – Seramai 20 keluarga kaum India diraikan sempena menyambut Deepavali di Taman Dato’ Rashid di sini baru-baru ini.
“Program ini merupakan program rutin tahunan kami setiap kali menyambut Hari Deepavali, bagi membantu dan meringankan bebanan masyarakat tanpa mengira kaum dan kepercayaan.
“Kami mengambil cakna tentang kebajikan masyarakat terutama ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan sama ada ekonomi, pendapatan dan kebajikan,” kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota (DMPIM) Salbiah Seeni Abdul ketika memberi ucapan sempena Program Sumbangan Deepavali dan Demo Maruku.
Tambahnya lagi walaupun tanpa bantuan dari Kerajaan Negeri, PAS tetap berusaha bagi membantu mereka untuk meraikan perayaan tersebut.
“Hasil dari sumbangan orang ramai dan usaha yang dilakukan oleh DMPIM dan PAS Kawasan Indera Mahkota, kami dapat mengadakan program seumpama ini.
Sementara itu, pengarah program Saadah Halim berkata, selain dari penyerahan barangan dapur, demonstrasi membuat kuih maruku juga diadakan.
“Masyarakat Melayu yang hadir dalam program ini dapat mempelajari bagaimana kuih tersebut disediakan bermula dari penyediaan bahan, membuat adunan, digoreng dan seterusnya menjadi hidangan minum petang bagi yang hadir,” kata beliau lagi yang juga sebagai Ketua Lajnah Perpaduan DMPIM.
Turut terlibat dalam program ini adalah Ahli Jawatankuasa Lajnah Perhubungan Nasional DMPIM, Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Taman Dato’ Rashid Kuantan, kerjasama dari guru-guru PASTI Taman Dato’ Rashid dan masyarakat di sekitarnya.