Home Berita PAS Terengganu

Kempen derma darah di DMR berjaya kumpul 37 beg darah

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kempen Derma Darah anjuran Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 37 beg darah.

Program yang berlangsung meriah di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort itu merupakan inisiatif penting dalam membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memenuhi keperluan bekalan darah bagi pesakit di hospital.

Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, beliau gembira atas kejayaan program tersebut kerana bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi turut berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi serta masyarakat setempat.

Beliau menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam membantu meningkatkan bekalan darah bagi kegunaan pesakit di HSNZ.

“Kami sangat berpuas hati dan bersyukur dengan perjalanan program ini. Melalui kempen ini, objektif utama kami bukan sahaja tercapai, tetapi juga berjaya mengukuhkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa.

“Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi memenuhi keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya

Kata beliau, program berkenaan bukan sahaja menarik kehadiran individu tetapi turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi.

“Antara agensi yang menyokong penuh kempen ini termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Duyong, Jabatan Pelancongan Terengganu dan syarikat swasta seperti Aims Global.

“Kehadiran mereka membantu memeriahkan suasana kempen dan menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini.

“Selain aktiviti utama menderma darah, kempen ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memberi manfaat kepada para pengunjung,” katanya.

Tambah Wan Faizul, syarikat kesihatan, GPharmax, turut serta dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa tahap kesihatan mereka.

“Di samping itu, reruai Cakna Management Sdn. Bhd. turut memeriahkan kempen dengan mempamerkan kepakaran mereka dalam bidang pengurusan dan penganjuran acara.

“Kehadiran syarikat-syarikat ini menjadikan kempen ini bukan sahaja bermakna, tetapi juga satu platform untuk meningkatkan kesedaran kesihatan,” jelasnya.

Wan Mohd Faizul menambah bahawa kempen ini telah berjaya mencetuskan impak positif dalam kalangan masyarakat setempat dan menggalakkan lebih ramai untuk tampil menderma darah pada masa akan datang.

Menurut beliau, sambutan hangat yang diterima adalah bukti kepedulian masyarakat terhadap isu-isu kesihatan dan kesedaran betapa pentingnya untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Respon yang diterima sangat positif. Kehadiran ramai ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program-program seperti ini di masa akan datang, demi manfaat masyarakat keseluruhannya. Sambutan luar biasa daripada pelbagai organisasi dan masyarakat setempat memberi semangat baharu kepada kami,” ujar beliau lagi.