KUALA NERUS, 20 Oktober – Selepas 10 tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah, akhirnya tercapai pada usia 81 tahun.
Christine Rohani Longuet yang berasal dari Perancis berkata, gelaran itu diidam-idamkannya sejak dahulu dan beliau menanam azam untuk berusaha mencapai impiannya itu selagi kesihatan masih baik.
Berkongsi impiannya Rohani memberitahu, selepas ini beliau berazam untuk menulis buku memoir kenangan sepanjang berada di bumi Terengganu sejak 51 tahun yang lalu.
“Saya mahu cucu cicit dan keturunan seterusnya tahu sejarah asal usul nenek moyang mereka dan bagaimana boleh berada di Malaysia setelah melalui pengembaraan dengan belayar jauh dari Perancis.
“Saya juga ingin meluahkan semua pengalaman dan kecintaan saya terhadap budaya, kesenian serta warisan tradisional untuk diterjemahkan dalam buku yang akan diterbitkan dalam tiga bahasa nanti iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita pada Majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke- 22, hari ini.
Terdahulu, Rohani merupakan graduan tertua menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan antara 89 graduan PhD yang diraikan dalam sesi pertama konvokesyen yang disempurnakan istiadatnya oleh Canselor UMT iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pagi ini.
Nenek kepada 26 cucu dan moyang kepada sembilan cicit itu berkata, kejayaannya itu membuktikan usia bukanlah penghalang dalam mencari ilmu pengetahuan.
“Saya memulakan pengajian PhD dengan tesis bertajuk ‘Places, Plants and People In The State Of Terengganu, Malaysia: An Assessment From Two Eras’ pada tahun 2014.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat banyak sokongan daripada pensyarah serta keluarga sepanjang 10 tahun pengajian ini berlangsung.
“Walaupun mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkannya kerana kekangan masa, saya gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi hari ini disaksikan sebahagian anak, cucu dan cicit,” katanya.
Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Sebelum itu, ketika berada di negara kelahirannya, Rohani memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke Malaysia.
Rohani yang meminati bidang pelayaran datang ke Terengganu pada tahun 1971 kerana menempah kapal buatan tukang yang mahir dan akhirnya menetap di Pulau Duyong setelah berkahwin dengan penduduk tempatan, Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah.
Sejak itu, kisah hidupnya terkenal kerana menjadi wanita tunggal dari Perancis ketika itu yang mahir bertutur dalam dialek Terengganu dan sangat meminati bidang kesenian, warisan dan kebudayaan Terengganu.