Home Berita PAS Terengganu

Politik Islam Kerana Allah

9
SHARE

Kenalilah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebelum menyertainya atau menyerangnya.

Politiknya kerana Allah, manakala tujuan penubuhannya tidak ada dalam kamus sekularisme dan segala ideologinya. Kami ialah kumpulan yang sentiasa membaca al-Quran dan mengkaji Sunnah Rasulullah SAW yang menunjukkan cara beramal dengannya sepanjang zaman dalam majlis ilmu, liqa’ fikri, tamrin, dan usrah, di samping sentiasa menunggu untuk melaksanakan mana-mana perintah Allah yang wajib dan boleh dilaksanakan. Jika ada halangan, maka kami berjuang mengatasi halangan itu bagi melaksanakannya supaya menjadi bekalan dunia hingga akhirat.

Kami menerima keahlian daripada semua peringkat ilmu dan taraf kehidupannya. Daripada yang paling tinggi ilmunya sehingga kalangan yang paling jahil, asalkan seseorang ahli itu berakal dan mukalaf. Ijazah ilmu yang berjela-jela atau harta yang banyak, pangkat, dan keturunan tidak ada gunanya kepada kami sekiranya tidak diterima oleh Allah, melainkan melalui amalan atau bercita-cita dengan niat kerana Allah.

Politik Islam pula bukan ciptaan manusia. Politik Islam ialah kewajipan yang ditegaskan oleh firman Allah SWT dalam al-Quran kepada para malaikat:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Tugas khalifah dalam bahasa Arab ialah menegakkan siasah atau politik yang dilaksanakan oleh para anbiya’ sebagaimana yang dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il, politik mereka dipimpin oleh para nabi (yang dilantik oleh Allah). Setiap kali nabi diwafatkan, maka diganti dengan nabi yang lain. Sesungguhnya, tidak ada lagi nabi selepasku, tetapi adanya para pemimpin yang ramai.” [Muttafaq ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1842, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥١

“Sesungguhnya, jawapan orang-orang Mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan, ‘Kami mendengar dan kami patuh.’ Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [Surah al-Nur: 51]

Allah menegaskan bahawa Rasulullah SAW, nabi akhir zaman mengambil tugas tersebut mengikut firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari ni‘mat. (38) Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya, mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39) (Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 38–41]

Kewajipan politik ditunaikan, khususnya apabila kaum Yahudi Ahli Kitab mengkhianati amanah Allah dengan mencipta berbagai-bagai ideologi dan teori yang meninggalkan petunjuk Allah. Maka, Allah mewahyukan mukjizat ilmu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia di seluruh dunia, berbeza dengan para rasul sebelumnya. Walaupun tidak ada lagi rasul selepas Rasulullah SAW, kumpulan Islam atau parti Islam yang berjuang menegakkan agama Islam supaya berdaulat diadakan. Sifat dan cirinya dinyatakan oleh firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak, Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut agama Allah (parti yang menegakkan Islam) itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]

Kumpulan atau parti Islam itu bercirikan:

Mencintai Allah dan Rasul, bermaksud menegakkan Islam yang sempurna.
Mengumpulkan kalangan orang-orang yang beriman dalam satu jemaah.
Berjihad (bersungguh-sungguh dengan pengorbanan) bagi menegakkan Islam.
Tidak peduli terhadap kalangan yang mencela dan menghina.
Berwala’ kepada Allah dan Rasul secara mutlak.
Berwala’ kepada pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul.

Allah dan Rasul menjanjikan bahawa kumpulan ini berada pada sepanjang zaman dan Islam tidak boleh dipadamkan cahayanya sekali-kali.

Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. (8) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]

Sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang zahir menegakkan kebenaran (Islam) yang tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya keputusan Allah (mati atau menang), mereka tetap dengan perjuangan itu.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1920, daripada Thauban]

Allah menetapkan bahawa kumpulan Islam pasti diuji oleh gangguan-gangguan daripada berbagai-bagai pihak. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]

Firman Allah SWT:

فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةٗ مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤ إِنۡ هُوَ إِلَّا رَجُلُۢ بِهِۦ جِنَّةٞ فَتَرَبَّصُواْ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٖ ٢٥

“Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu. (24) Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu.’ (25)” [Surah al-Mu’minun: 24–25]

Al-Quran dan Sunnah ialah petunjuk sepanjang zaman yang tidak hilang cahayanya. Maka, PAS yang ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang silih berganti sejak awal sehingga kini terus mempertahankan prinsip dan konsep politik Islam yang mewajibkan berjemaah dalam satu parti, yang menetapkan undang-undang tubuh atau perlembagaannya dengan ciri, rukun, dan prinsipnya yang teguh dan sedia menghadapi cabaran serta perubahan zaman dan tempat.

PAS mengalami pasang dan surut, rebah dan bangun dalam perjalanannya. Namun, kekuatannya tetap bertambah, manakala pengikut yang datang lebih ramai daripada yang gugur sama ada kerana ajalnya ataupun kelemahannya sehingga ada yang dicantas oleh musuh.

PAS hidup laksana pokok yang teguh dan kuat tunjangnya yang disifatkan oleh firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)” [Surah Ibrahim: 24–25]

Bagi menegakkan Islam yang sempurna menghadapi zaman yang berubah dan cabaran yang berbeza, PAS bertahaluf dan berta‘awun serta berlawan dan bertempur dengan sesiapa sahaja dalam masyarakat majmuk yang berada di dalam medan kerjanya. Namun, PAS tetap beristiqamah di atas dasar aqidah perjuangan dan mampu berijtihad hukum yang tidak ada nas dalam membuat keputusan terhadap urusan kemanusiaan dan alam sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, PAS dipelihara oleh pasukan Majlis Syura Ulamak yang berwibawa dan ilmuwan yang matang bagi menangani perjalanan di semua medan masyarakat majmuk dengan matang dan sejahtera.

Islam mewajibkan politik sebagai amanah besar daripada Allah kepada manusia. Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢ لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ وَٱلۡمُشۡرِكَٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمَۢا ٧٣

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (72) Sehingga Allah mengazab orang-orang munafiq lelaki dan perempuan dan orang-orang Musyrikin lelaki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (73)” [Surah al-Ahzab: 72–73]

Wawasannya daripada dunia hingga akhirat sebagaimana firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]

Kepada sesiapa yang tidak berhenti menyerang kami, bacakan kepadanya firman Allah SWT:

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا ٦٣

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.” [Surah al-Furqan: 63]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Rabi‘ al-Akhir 1446 / 16 Oktober 2024

[Bil: 44 / 2024]