Home Berita PAS Terengganu

Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024

28
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu Inc. Challenge Series: International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) bakal menawarkan hadiah lumayan berkeseluruhan RM37,000 bagi acara yang dipertandingkan, dan sebuah Perodua Myvi sebagai hadiah utama untuk cabutan bertuah pada edisi kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim percaya, hadiah lumayan yang ditawarkan bakal menarik minat peserta tempatan dan luar negara.

“Selain kenderaan tersebut sebagai hadiah utama, pelbagai hadiah istimewa turut ditawarkan melalui cabutan bertuah seperti wang tunai, sebuah basikal, barangan elektrik dan elektronik seperti iPhone 15, iPad, TV Flat Screen, peti sejuk dan lain-lain.

“Cabutan bertuah ini bertujuan untuk menambah kemeriahan acara dan menghargai penyertaan aktif daripada semua pihak.

“Kejohanan ini merupakan salah satu daripada acara Terengganu Inc Challenge Series yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan Negeri, bermula sejak tahun 2019 dan kini memasuki edisi keenam, IGMR 2024 dijangka bakal menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan juga dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran IGMR 2024 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamad@Harun, Pengarah Eksekutif TDM Berhad; Najman Kamaruddin dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT); Ahmad Azizi Zulkifli.

Pelumba profesional terkenal dari Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh, telah diumumkan sebagai ikon jersi rasmi kejohanan.

Tambah Hishamuddin, Penganjuran IGMR 2024 bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan sukan berbasikal di Malaysia, tetapi juga sebagai usaha memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi utama bagi pelancongan sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan berbasikal, juga sebagai hab sukan bertaraf antarabangsa.

“Program seperti ini dapat memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat.

“Ia juga meningkatkan rasa bangga terhadap negeri Terengganu yang bergelar sebagai ‘Land of Cyclists’ dengan menawarkan pengalaman berbasikal mencabar, namun mempesonakan melalui laluan-laluan yang penuh dengan pemandangan indah dan juga penuh cabaran.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada penganjur utama tahun ini TDM Berhad, dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), PLBT, TSG, dan syarikat-syarikat GLC di bawah payung Kumpulan Terengganu Inc, moga dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.

Untuk rekod, kejohanan tersebut terbuka kepada semua yang berjaya mendaftarkan diri  sebelum 20 Oktober, dan bakal berlangsung pada 14 Disember di PSKT.

Acara yang dipertandingkan adalah MTB Race and Jamboree sejauh 30 km melibatkan 12 kategori iaitu Elite, Men Open A, Men Open B, Men Master A, Men Master B, Men Veteran A, Men Veteran B, Men Junior, Women Open, Women Super Mama, E-Bike dan Heavy Weight.

Selain itu, terdapat kategori Fun Ride (on road) sejauh 39 km bagi peserta yang minat berbasikal tetapi tidak bertanding.

Maklumat lanjut mengenai IGMR 2024 boleh didapati di laman sosial rasmi Terengganu Inc Challenge Series.