Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri sedia hadapi isu penduduk semakin menua

28
SHARE

KUALA NERUS – Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mewujudkan warga emas yang berdikari, dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka.

“Pihak kami bersama JKM kini mempersiapkan golongan tersebut untuk menghadapi hari tua melalui pendidikan dan mampu berhadapan dengan apa jua situasi.

“Warga emas perlu diberi perhatian khusus dari segi penjagaan dan sokongan, baik secara fizikal mahupun emosi agar mereka merasa dihargai dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

“Contohnya kalau seorang anak tidak menjaga ibu atau bapa mereka, golongan ini masih lagi boleh berdikari , tidak ‘stres’ dengan apa yang berlaku dan mampu meneruskan kehidupan seharian tanpa bantuan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.

Tambah Maliaman, warga emas juga merupakan tunjang kepada kekuatan komuniti pada hari ini dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

“Mereka telah melalui pelbagai cabaran hidup, perubahan sosial, kemajuan teknologi dan ekonomi, menjadikan mereka adalah guru yang tak ternilai bagi generasi muda hari ini.

“Kepada warga emas, jagalah kesihatan dengan baik kerana kesihatan kita adalah aset yang paling berharga dan kita mahu hidup dan berfungsi dengan baik di usia emas,” ujarnya.

Hari Warga Emas disambut 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’.