Home Berita PAS Terengganu

JKM Terengganu siap siaga hadapi banjir

5
SHARE

KUALA NERUS – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Terengganu bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri , Mazura Ngah Abdul Manan berkata, tahap kesiapsiagaan kini lebih 90 peratus dengan baki tugas yang lain akan diselesaikan sebelum akhir Oktober ini.

Menurutnya, seramai 686 petugas terdiri daripada 334 pegawai dan kakitangan, 11 pegawai psikologi, kaunselor dan 97 pasukan sokongan psikologi termasuk  244 sukarelawan juga sudah bersedia dan hanya menunggu masa untuk dipanggil.

“Barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar dan sabun akan mula dihantar dan diagihkan secara berperingkat ke 152 pangkalan hadapan seluruh negeri termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi mengelakkan berlakunya kelewatan bantuan.

“Pasukan kita juga telah bersedia dari segi fizikal dan mental terutama faktor ‘main power’ termasuk persiapan-persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdapat di seluruh negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui  selepas perasmian Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.

Tambah Mazura, bekalan dianggarkan mencukupi walaubagaimana sekiranya berlaku banjir diluar jangkaan, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk membuat tambahan belian.

Menurutnya lagi, secara umumnya, JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa membabitkan sekolah, balai raya dan dewan orang ramai.

Mengulas tentang cadangan pengunaan kod QR di PPS bagi melancarkan proses pendaftaran penduduk terjejas banjir di Terengganu, beliau berkata ia adalah pendekatan baru yang boleh dilaksanakan.

“Pelaksanaan kod QR di semua PPS yang dibuka  memudahkan  penyaluran maklumat dan bentuk bantuan yang disalurkan.

“Namun bagi di PPS yang menghadapi masalah terputus talian internet, kita tetap menggunakan pendaftaran secara manual,”ujarnya.