Home Berita PAS Terengganu

10 Keluarga di Pulau Redang terima rumah pemberian Kerajaan Negeri

22
SHARE

SETIU – Seramai 10 keluarga di Pulau Redang menzahirkan kesyukuran apabila menerima kunci Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Redang bagi penyerahan kali kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika menyempurnakan penyerahan replika kunci merakamkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat hingga mampu menyiapkan projek tersebut.

“Sebanyak 101 unit telah diterima penduduk ketika penyerahan pertama pada September 2022, yang mana telah tertunggak sejak 2013, dan pada hari ini ditambah lagi 10 unit daripada jumlah 160 unit keseluruhannya, bakinya akan diserahkan dengan kadar segera selepas dibaik pulih.

“Hari ini saya bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) meninjau dan melihat kerja-kerja sedang dilakukan oleh kontraktor, kita merasakan dapat menyelesaikan dengan segera bagi unit-unit yang terlibat dan berharap serahan akhir dapat dibuat dalam tempoh segera bagi penduduk Pulau di sini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati penduduk yang telah atau bakal mendiami kawasan ini supaya dapat menjaga persekitaran ini sebaik mungkin, terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan atau apa-apa perkara yang boleh memberikan kebahagiaan dan keselesaan penghuni di sini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan penyerahan replika kunci rumah RPMM pada hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri; Ir Saiful Azmi Suhail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit; Mohd Shafizi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT; Dato’ Wan Adnan Wan Derahman.

Dalam pada itu, salah seorang penerima yang berasal, Izyani Mohamed Noor meluahkan rasa syukur dengan penyerahan itu yang dinanti sekian lama.

“Saya seorang ibu tunggal yang memiliki tiga orang anak, sebelum ini menetap bersama keluarga.

“Saya sangat gembira dapat terima rumah pada hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada PMINT dan juga Kerajaan Negeri kerana memberi penyelesaian kepada kami,” ujarnya.