Home Minda Presiden

Pertembungan Ahzab: Dari Khandaq (Parit) Menuju Ke Nafaq (Terowong)

271
SHARE


Minda Presiden PAS

[Bil: 43 / 2024]

PERTEMBUNGAN AHZAB: DARI KHANDAQ (PARIT) MENUJU KE NAFAQ (TEROWONG)

*Terjemahan teks Ucaptama Presiden PAS di Muktamar Penyatuan Islam Sedunia Kali Ke-38 anjuran Majma‘ Al-Taqrib Bain Al-Mazahib Al-Islamiyyah, yang berlangsung pada 19 – 21 September di Tehran, Iran.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9-12]

Sebab nuzul (penurunan) ayat-ayat ini adalah rentetan daripada peristiwa Peperangan Ahzab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Antara salah satu kisah terbaik yang dinyatakan dalam al-Quran, sebuah kitab yang tiada keraguan padanya dan menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Ia bukanlah berita hiburan yang disiarkan oleh media massa, malah bukan juga sekadar kisah yang barangkali benar atau palsu.

Kisah yang terkandung dalam al-Quran adalah benar-benar datang daripada Allah dan Rasulullah SAW yang mengandungi pengajaran buat seluruh manusia. Ibrah atau pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukannya terhad kepada sebab ayat itu diturunkan semata-mata. Antaranya ialah kisah-kisah yang menunjukkan siri pertembungan antara Islam dengan musuh-musuhnya yang diceritakan secara berulang kali dan kekal berlaku sepanjang zaman.

Perancangan jahat orang kufur ke atas Islam tidak pernah sekali-kali berhenti. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

…وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ …٢١٧

“Dan mereka (orang kafir itu) tidak henti-henti (sentiasa) memerangi kamu sampai mereka (dapat) memurtadkan kamu daripada agama kamu (Islam kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup…” [Surah al-Baqarah: 217]

Mereka telah membentuk satu pakatan Ahzab moden yang saling bekerjasama dalam melakukan dosa dan mengadakan permusuhan terhadap Islam, sejak zaman Rasulullah SAW dan berterusan hingga kini. Sedangkan, mereka mengetahui kebenaran risalah Baginda dan sifat kenabiannya yang telah disebut dalam kitab-kitab terdahulu, sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh para nabi mereka lalu mereka mengikat janji setia.

Firman Allah SWT:

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٨٢

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil janji setia daripada para nabi (dengan firman-Nya), ‘Sungguh, apa sahaja yang Aku berikan kepada kamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada pada kamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81) Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” [Surah Ali ‘Imran: 81-82]

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, hanya sebilangan kecil sahaja daripada kalangan bangsa Yahudi itu yang beriman. Adapun kalangan pemimpin mereka pula telah mengkhianati perjanjian dan pemimpin Musyrikin menggerakkan pasukan mereka untuk memerangi negara Islam yang adil.

Lalu turun ayat yang mendedahkan pengkhianatan besar dan perancangan jahat mereka yang telah membentuk pakatan Ahzab yang berbahaya bagi menghapuskan Islam. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُواْ نَصِيبٗا مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡجِبۡتِ وَٱلطَّـٰغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ هَـٰٓؤُلَآءِ أَهۡدَىٰ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ سَبِيلًا ٥١

“Tidakkah kamu memerhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda yang disembah selain Allah dan taghut (Tuhan selain Allah dan para pemimpin yang sesat, dan mereka (para agamawan) pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum Musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum Musyrik itu) lebih benar jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad SAW). [Surah al-Nisa’: 51]

Para pemimpin dan pendeta Yahudi berangkat menuju ke Makkah untuk menghasut ketua-ketua kalangan Musyrikin dan kabilah-kabilah masing-masing untuk memerangi Madinah. Akhirnya, berjaya dihimpunkan sebuah pasukan tentera Ahzab yang sangat besar jumlahnya melebihi kekuatan kaum Muslimin.

Maka, Rasulullah SAW pun menggali parit untuk mempertahankan Islam dengan penuh kepayahan dan menghadapi suatu cabaran yang sangat hebat. Lantas Allah mendatangkan pertolongan-Nya dan mengalahkan pakatan Ahzab itu selepas mendatangkan bencana besar.

Firman Allah SWT:

هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” [Surah al-Ahzab: 11]

Melalui peristiwa Ahzab ini, Allah SWT membahagi-bahagikan penduduk Madinah kepada beberapa kelompok menurut tahap keimanan mereka. Sebahagian daripada mereka itu ada yang benar-benar beriman, ada yang lemah imannya. Malah, ada juga golongan munafiq dan menjadi penakut dengan berbagai-bagai alasan yang salah.

Peperangan ke atas Islam dan umatnya berterusan sehingga ke hari ini. Kita sedang berada fasa kelemahan umat Islam dan hilangnya kepimpinan Islam di peringkat antarabangsa. Namun, cahaya Islam tidak akan sekali-kali terpadam. Berlakunya kelemahan ini kerana para pemimpin umat Islam telah menyeleweng daripada agama dan jatuhnya pemerintahan Islam (khilafah).

Negara-negara umat Islam telah dijajah di bawah penguasaan musuh-musuhnya, lalu dipecahbelahkan antara satu sama lain seterusnya mereka dikawal dari dalam dan luar. Namun, risalah Islam tetap terpelihara oleh para pendukungnya, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (akan yang demikian). (8) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukai. (9) [Surah al-Saff: 8-9]

Sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، أَوْ خَالَفَهُمْ ‌حَتَّى ‌يَأْتِيَ ‌أَمْرُ ‌اللهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ.

“Akan sentiasa ada satu golongan dalam kalangan umatku yang bangkit mempertahankan perintah Allah (yang hak). Orang-orang yang mensia-siakan mereka atau yang menyanggah mereka tidak boleh memberi mereka kemudaratan sehinggalah datang ketentuan Allah (Hari Kiamat) dalam keadaan mereka terus berjuang dalam kalangan manusia.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, No. 3641, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1037, daripada Mu‘awiyah]

Benteng pertahanan umat Islam terancam dari dalam dengan tersebarnya kejahilan dalam kalangan umat, kelemahan para ulama’, hilangnya kuasa pemerintahan dan merebaknya pertelingkahan yang telah diingatkan Allah melalui firman-Nya:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]

Malangnya, wujud konspirasi besar antara pihak musuh dengan kalangan sebangsa dan bersaudara dengan kita yang melakukan pengkhianatan. Seterusnya, mengakibatkan pendudukan Zionis di bumi Palestin dan kejatuhan kota Bait al-Maqdis yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam, masjid suci yang ketiga selepas Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi, serta tempat berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

Lalu kelompok itu bersekongkol menempatkan negara Israel di tengah-tengah dunia Islam, memberi ruang kepada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat membina pangkalan tentera di beberapa buah negara Islam untuk melindungi kepentingan negara haram Israel, menjaga kepentingan kumpulan penjajah, menguasai telaga minyak, mengawal laluan strategik untuk mengepung dunia Islam, membolot kekayaannya dan memperhambakan umatnya. Walau bagaimanapun, cahaya Islam akan terus bersinar dan tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Musuh-musuh Islam mengambil kesempatan daripada kepelbagaian kaum dan perbezaan mazhab untuk menyemai konflik dari dalam, lalu mengepung dunia Islam dengan menguasai tanah air umat Islam melalui penjajahan moden dan memecahbelahkan mereka antara satu sama lain. Namun, muncul gerakan islah dan tajdid yang dipimpin oleh para ulama’ yang mewarisi ajaran para nabi telah menggerakkan agenda dakwah, tarbiah, pengajian ilmu dan jihad. Justeru, cahaya Islam tidak akan sekali-kali terpadam.

Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (akan yang demikian). (8) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukai. (9) [Surah al-Saff: 8-9]

Kemanisan iman yang masih berbaki dalam diri umat Islam telah mencetuskan kebangkitan untuk kembali semula kepada ajaran sebenar Islam. Antaranya, peranan yang dimainkan oleh Majma‘ Taqrib Antara Mazhab Islam yang telah digerakkan oleh para ulama’ pembaharuan pada awal kurun yang lalu.

Pada pertengahan bulan Oktober tahun 1931, satu persidangan telah diadakan bertujuan untuk menentang Yahudi Zionis dan surat jemputan telah dihantar atas nama Pengerusi Majlis Tertinggi Majma‘ Taqrib dan Mufti Bait al-Maqdis kepada seluruh tokoh di dunia Arab dan Islam, termasuk para pemimpin politik, ulama’, sasterawan di Mesir, Iraq, Syria, Lubnan, Semenanjung Arab, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi, India, Indonesia, Malaysia, Iran, Afghanistan, Sri Lanka, Turkiye, Turkistan dan Bosnia.

Dalam surat jemputan itu dinyatakan bahawa tujuan diadakan persidangan bagi membincangkan keadaan semasa umat Islam, memelihara tempat-tempat suci Islam daripada tangan-tangan jahat yang ingin menguasainya dan perkara-perkara lain yang meresahkan seluruh umat Islam. Persidangan itu diadakan di perkarangan Masjid al-Aqsa pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan bertarikh 27 Rajab tahun 1350 Hijrah bersamaan 7 Disember 1931. Kemudiannya, diikuti dengan beberapa persidangan seterusnya yang diadakan di Universiti al-Azhar di Mesir, seterusnya di Makkah dan beberapa tempat yang lain.

Selepas itu, berlaku Revolusi Islam di Iran, membakar semangat gerakan Islam untuk bangkit dan mara ke hadapan mendepani liku-liku perjuangan mereka dalam memimpin umat Islam seluruhnya. Gerakan penentangan berhaluan Islam turut mara dalam perjuangan membebaskan Palestin dan menyelamatkan Bait al-Maqdis daripada bahaya penjajahan Zionis atas nama Tanzim Jihad, Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) dan parti-parti Islam di negara-negara umat Islam yang menyokong mereka.

Namun, muncul pula gerakan yang berlawanan melalui pakatan Ahzab Moden yang diketuai oleh syaitan besar, Amerika Syarikat dan sekutu mereka dari dalam dan luar yang bersama mereka untuk menghalang jalan menuju kemenangan, terutamanya selepas kemaraan Hamas dalam pilihan raya umum di Palestin.

Musuh-musuh ini tidak akan pernah sekali-kali mengiktiraf kemenangan Islam yang sah, walaupun ia berlaku secara aman. Hal ini disebabkan demokrasi Barat akan cuba menghalang Islam untuk menubuhkan negaranya kecuali dengan fahaman dan doktrin sekular (Islam yang terpisah daripada politik) sama ada doktrin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Amerika Syarikat, negara-negara Komanwel di bawah British (Commonwealth of Nations) atau Kesatuan Eropah (EU).

Maka, diperkenalkan satu pendekatan baharu iaitu penyelesaian dua negara (two-state solution) yang memaksa penduduk Palestin, umat Islam dan negara-negara Arab untuk menerimanya. Akan tetapi, pihak Yahudi Zionis tidak pernah menerima penubuhan negara Palestin, sama ada melalui idea penyelesaian dua negara atau pengiktirafan terhadap pemerintahan (Hamas) yang berada di Semenanjung Gaza yang kecil. Mereka hanya mengiktiraf pemerintahan olok-olok (pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat) yang berada di bawah telunjuk dan pengawasan Zionis dalam keadaan penduduk Palestin tidak berkuasa.

Namun, gerakan jihad terus mara dan tidak menyerah kalah sekali-kali dalam menghadapi ancaman Zionis di Bait al-Maqdis dan kawasan sekitarnya. Dengan sokongan kumpulan Hizbullah di Lubnan dan kumpulan Ansarullah di Yaman, kumpulan pejuang di Iraq dan lain-lain. Mereka semua mara dalam satu saf perjuangan dengan ledakan Taufan al-Aqsa di Gaza yang diperkukuhkan dengan persiapan menggali terowong-terowong bawah tanah iaitu ‘Nafaq’ untuk menghadapi pakatan Ahzab moden bagi menggantikan ‘Khandaq’ (parit) dalam sejarah peperangan di Madinah.

Dalam peristiwa besar itulah mereka yang beriman diuji sekali lagi dan keimanan mereka digoncangkan dengan goncangan yang sangat dahsyat.

Namun begitu, isu pokok Palestin yang paling utama ialah soal pembebasan Bait al-Maqdis yang merupakan kiblat pertama umat Islam, yang sepatutnya menyatukan Ahli al-Qiblah daripada kalangan mazhab-mazhab dalam Islam dan merapatkan hubungan kalangan yang beriman walaupun mereka pernah tenggelam dalam kejahilan.

Ini menandakan bahawa kemanisan iman tetap tersemat dalam jiwa dan diri umat Islam melalui persaudaraan berasaskan keimanan dan ia tetap teguh dalam jiwa mereka. Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

‌ثَلَاثٌ ‌مَنْ ‌كُنَّ ‌فِيهِ ‌وَجَدَ ‌حَلَاوَةَ ‌الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

“Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman, (Pertama) Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain kedua-duanya. (Kedua) Jika dia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci apabila dilempar ke dalam neraka.” [Muttafaq ‘alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 16, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 43, daripada Anas. Lafaz bagi al-Bukhari]

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang lain:

‌مَثَلُ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌فِي ‌تَوَادِّهِمْ، ‌وَتَرَاحُمِهِمْ، ‌وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman berkait dengan hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi sesama mereka laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh jasad merasa sakit sehingga berjaga dan demam.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2586, daripada al-Nu‘man bin Bashir]

Persaudaraan atas dasar aqidah yang mengikat orang yang beriman laksana satu jasad yang kuat telah menyebabkan ledakan Taufan al-Aqsa dari wilayah kecil di Gaza. Sekali gus memberi kesan yang sangat besar dalam hati orang yang beriman walau di mana sahaja mereka berada di seluruh dunia dari timur hingga ke barat. Pakatan Ahzab moden akan jatuh ke dalam terowong yang dibina di Gaza dengan darah para syuhada’ dan para pejuang yang sabar serta tabah sama seperti pakatan Ahzab dahulu yang telah dikalahkan di dalam parit “Khandaq” yang menjadi catatan sejarah kota Madinah.

Keteguhan istiqamah gerakan Hamas dalam melaksanakan fiqh jihad membuktikan bahawa risalah Islam akan terus hidup, perkara ini berpandukan firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” [Surah al-Baqarah: 190]

Peperangan yang dilancarkan oleh Hamas berlaku dalam zon yang diduduki tentera musuh, sekali gus tindakan tersebut tidak melewati batas syariat yang adil. Perkara ini berbeza sama sekali dengan peperangan yang dilaksanakan oleh pihak Zionis yang zalim dan melampaui batas undang-undang kemanusiaan. Tindakan mereka yang sangat melampau telah mencetuskan kecaman dari seluruh dunia termasuk negara-negara bukan Islam, tidak seperti negara-negara Arab dan Islam yang telah terhakis nilai persaudaraan dengan penyakit dalam hati mereka dan pendirian mereka yang khianat dalam menghadapi pakatan Ahzab moden.

Pakatan Ahzab moden telah membahagi-bahagikan umat Islam sebagaimana pembahagian yang telah dinyatakan dalam al-Quran semasa pakatan Ahzab yang terdahulu. Umat Islam terbahagi kepada beberapa golongan yang benar-benar beriman sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22) Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antara mereka ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (23)” [Surah al-Ahzab: 22-23]

Sebahagian umat Islam pula terbahagi kepada beberapa golongan seperti berikut:

وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’” [Surah al-Ahzab: 12]

Sebahagian lagi umat Islam terbahagi kepada golongan berikut:

۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨ أَشِحَّةً عَلَيۡكُمۡۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلۡخَوۡفُ رَأَيۡتَهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ تَدُورُ أَعۡيُنُهُمۡ كَٱلَّذِي يُغۡشَىٰ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡمَوۡتِۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلۡخَوۡفُ سَلَقُوكُم بِأَلۡسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلۡخَيۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ لَمۡ يُؤۡمِنُواْ فَأَحۡبَطَ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٗا ١٩

“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar. (18) Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (19)”  [Surah al-Ahzab: 18-19]

Sekalung tahniah kepada pihak Majma‘ Taqrib Bain al-Mazahib yang berperanan merapatkan mazhab-mazhab dalam Islam di bawah naungan negara yang mendukung Revolusi Islam Iran. Hal ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perpaduan umat Islam yang lenyap akibat perbezaan mazhab dalam perkara cabang, seharusnya bersepakat pada perkara dasar, rujukan agama yang satu dan kiblat yang sama.

Seruan penyatuan umat ini membawa semua pihak kembali kepada hikmah sebalik perbezaan pendapat antara para ulama’ kerana berlakunya perbezaan situasi dan keadaan setempat. Pada masa yang sama, masing-masing adalah bersaudara sesama mereka serta bersepakat untuk berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan musuh yang menunggu masa untuk menghancurkan mereka.

Selain itu juga, menyeru kepada kalangan yang sesat yang terkeluar dari jalan yang lurus kerana kejahilan mereka, serta menyeru kepada hidayah, taufiq, islah dan terus menyampaikan risalah Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam. Perkara ini penting agar umat Islam kembali ke era kemenangan Islam bukannya era penjajahan, kezaliman, dan perhambaan.

Akhirnya, persidangan ini juga menyeru agar umat Islam menetapkan pendirian yang teguh menyokong Taufan al-Aqsa bagi menggentarkan tentera Ahzab moden yang mempertahankan Yahudi Zionis berserta kuasa besar. Sekutu dalam pakatan Ahzab moden sentiasa berusaha menjaga keselamatan negara haram Israel atas kemusnahan negara Palestin dan korban rakyatnya yang tertindas serta mengkhianati hak-hak sebagai sebuah negara yang berjiran dan bersaudara.

Saya sangat teruja dengan apa yang dinyatakan oleh Dr. Ahmad al-Raisuni, mantan Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia:

“Di antara kewajipan-kewajipan syarak yang bersifat fardhu ain (individu) atau fardhu kifayah (kolektif) ialah kewajipan memberikan penyaksian (keterangan).

Firman Allah SWT:

…وَأَقِيمُواْ ٱلشَّهَٰدَةَ لِلَّهِۚ … ٢

“…Dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.” [Surah al-Talaq: 2]

Dan Syariat melarang dan mengharamkan penyembunyian syahadah (kesaksian) dan tuntutan syahadah kepadanya apabila ia diperlukan. Firman Allah SWT:

… وَلَا تَكۡتُمُواْ ٱلشَّهَٰدَةَۚ وَمَن يَكۡتُمۡهَا فَإِنَّهُۥٓ ءَاثِمٞ قَلۡبُهُۥۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٞ ٢٨٣

“Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 283]

Firman Allah lagi:

…وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَٰدَةً عِندَهُۥ مِنَ ٱللَّهِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ١٤٠

“‘…Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?’ Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.” [Surah al-Baqarah: 140]

Dan apabila seseorang telah ditetapkan sebagai saksi atas sesuatu perkara yang diketahuinya (berilmu dengannya), maka wajib baginya untuk memberikan keterangan dengan jujur dan sebenar-benarnya, walaupun keterangan itu menentang dirinya sendiri, atau keluarganya, atau sahabatnya, atau orang yang dikasihinya, bahkan jika keterangan itu memihak kepada lawan atau musuhnya.

Firman Allah:

۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ … ١٣٥

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” [Surah al-Nisa’: 135]

Dan kesaksian itu, sebagaimana ia dituntut dan diwajibkan dalam urusan-urusan peribadi dan duniawi, ianya juga diwajibkan – bahkan dengan lebih tegas – dalam urusan (kepentingan) awam dan isu-isu antarabangsa (global).

Begitu juga menyembunyikan kesaksian adalah suatu perbuatan yang dilarang sepertimana firman-Nya:

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” [Surah al-Baqarah: 146]

Kesaksian yang aku mahu tunaikan sekarang, dan aku menyeru kepada pelaksanaan tuntutannya, untuk membuktikan kebenaran dan ditegakkan keadilan, serta dihapuskan kebatilan dan kekufuran, Kesaksian itu adalah umat Islam Syiah telah mendukung dan membantu saudara – saudara mujahidin mereka di bumi Palestin, dan mereka telah berjuang dengan gigih  serta menghantar bantuan terbaik kepada Palestin, dan mereka mengorbankan nyawa, wang, senjata, dan telah membuat pengorbanan yang besar. Sedangkan umat Islam Sunni tidak memberikan sumbangan sedemikian.

Kesaksian ini semestinya dilaksanakan dan diumumkan, untuk menafikan berita yang bohong dan palsu secara zalim dan tidak adil mengenai sokongan Syiah terhadap perjuangan Palestin dan jihad rakyat Palestin.

Aku tahu dan pasti bahawa kesaksian ini akan menimbulkan kemarahan bagi mereka yang meragui dan menafikan (kebenaran), dan mereka akan mengulangi dongeng mereka yang diketahui kepada kita.

Tetapi aku berkata kepada mereka: Aku berpegang teguh kepada fakta – fakta yang diyakini dan maklumat yang dipercayai, dan aku tidak peduli dengan kata-kata dan sangkaan jahat yang tidak berasas. Dan aku berkata sepertimana Rasulullah SAW. bersabda:  

اللَّهُمَّ إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلِيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي…

“Ya Allah, jika Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli…” [Sirah Ibn Hisyam, Jilid1, Hlm. 420]”

Kami sangat menghargai pendirian Republik Islam Iran sejak awal kejayaan revolusinya, kerana telah meletakkan isu Palestin berada di hadapan sebagai matlamatnya secara teori dan praktikal dengan mengorbankan para syuhada’, harta dan senjatanya serta menghadapi sekatan antarabangsa daripada negara-negara musuh dan pengkhianat.

Semoga Allah SWT merahmati perjalanannya.

Akhir kata, segala puji bagi Allah, Tuhan bagi sekalian alam.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS,
Ahli Majlis Tertinggi Majma‘ Taqrib Antara Mazhab Islam.