Home Berita PAS Terengganu

PBT pergiat pantauan aktiviti tidak bermoral

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan sedang melakukan pemantauan teliti berhubung aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya sebarang sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau nak buat (serbuan) pun kita tak akan maklum kepada mana-mana pihak kecuali pihak berkuasa supaya tidak timbul sabotaj dan sebagainya.

“Kita sedang pantau dengan teliti (aktiviti berunsur maksiat di Terengganu)…sebab itu lah saya rasa tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ini adalah tanggungjawab semua pihak.

“Bagi orang Islam, kita laksanakan tuntutan agama, amar ma’ruf nahi mungkar.…bila lihat atau dengar maklumat begini, haruslah disampaikan kepada pihak berkuasa dengan cara masing-masing (yang sesuai),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.

Katanya, aduan boleh dikemukakan kepada ahli majlis PBT atau mana-mana pihak berkuasa.

“Insya-Allah kerajaan negeri akan guna ruang yang ada untuk ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia menahan 17 wanita warga Thailand dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 33 tahun ditahan ketika asyik melayan pelanggan dengan berpakaian seksi ala jururawat di sebuah pusat hiburan haram di bandar raya Kuala Terengganu.