Home Berita PAS Terengganu

Terengganu harap Belanjawan 2025 adil, tiada cukai baharu

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini dapat disalurkan secara adil untuk semua negeri di samping tiada pengenalan cukai baharu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang mengikut negeri yang lebih memerlukan akibat daripada kesenjangan (jurang) atau ketidakseimbangan pembangunan.

“Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita kepada rakyat, kepada negeri-negeri, keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan.

“Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sedia terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan.

“Mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau tidak adalah negeri yang membentuk satu persekutuan yang kita namakan sebagai Malaysia.

“Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada KDNK negara, jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka tentunya ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita.

“Jadi, tentulah isu ini haruslah diselesaikan, politik-politik juga, tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri tertentu dalam negara ini dinafikan hak mereka,” ujarnya.