Home Berita PAS Terengganu

Pesara Guru ‘Hilang’ RM218,900 angkara ‘Phone Scam’

30
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara guru berputih mata kehilangan RM218,900 simpanan Tabung Haji dan wang pencennya selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 62 tahun ketika berada di rumah telah menerima satu pangilan mendakwa daripada sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor pada 31 Ogos lalu dan memberitahu pengadu mempunyai tuntutan claim insuran sebanyak RM68,800.

Menurutnya, mangsa yang menafikan tuntutan itu telah diminta untuk membuat laporan polis kononnya berhubung penyalahgunaan data peribadi untuk kesalahan undang-undang.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia.

“Mangsa kemudian telah diarahkan membuat simpanan tetap sebanyak RM5,000 dan diminta memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji miliknya sebanyak RM201,900 ke dalam akaun yang telah dibuka tersebut.

“Pesara guru mula menyedari telah ditipu oleh sindiket phone scam setelah menceritakan situasi tersebut kepada anak pengadu dan hasil semakan dengan pihak bank, dia mendapati akaun banknya cuma berbaki RM100,” ujarnya kepada pemberita.

Azli berkata, mangsa juga telah melakukan 20 kali transaksi ke dalam akaun-akaun bank terbabit membabitkan kerugian RM218,900.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.32 tengah hari semalam.

“Wang tersebut adalah hasil pampasan persaraan serta simpanan milik mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” ujarnya.