PADANG BESAR : PAS Kawasan Padang Besar meneruskan kesinambungan penganjuran Program Korban Perdana PAS Kawasan Padang Besar sempena sambutan Perayaan Aidiladha tahun ini.
Program tersebut telah diadakan pada 3 September 2017 bertempat di Kompleks Tarbiyah PAS Padang Besar (KOMTAR), Beseri, Perlis.
Menurut Yang Di Pertua PAS Kawasan Padang Besar, Saudara Kamis Yob, tahun ini merupakan tahun kelima program seumpama ini diadakan dan bilangan lembu yang dikorbankan pula meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 9 ekor.
Peningkatan ini menurut beliau adalah disebabkan oleh faktor kepercayaan ahli terhadap pengurusan ibadah korban yang dilaksanakan oleh PAS kawasan selain faktor harga yang berpatutan.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati atas kejayaan penganjuran program kali ini yang menurut beliau berpunca daripada kerjasama dan sokongan daripada semua pihak dalam PAS.
“Secara keseluruhannya, kita melihat program kali ini lebih berjaya dan teratur berbanding tahun-tahun lepas dan kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.”
Seawal jam 8.00 pagi, perkarangan KOMTAR telah dipenuhi oleh para petugas dan orang ramai yang terlibat dengan pelaksanaan ibadah korban dengan kehadiran dianggarkan mencecah 200 orang.
Turut serta dalam program kali ini, TYDP PAS Kawasan Padang Besar, Tn. Hj. Md Ali bin Puteh, Saudara Suhairi bin Samsudin (NYDP PAS Kawasan Padang Besar) dan Puan Rokiah Omar (Ketua Muslimat PAS Kawasan Padang Besar).
{jathumbnail off}