Home Berita PAS Terengganu

Explorasi Alamanda 2024 Eratkan Ukhuwah dan Promosi Kesihatan

4
SHARE

Oleh ; Rohayati binti Ripin

KUALA TERENGGANU – Program Explorasi Alamanda 2024 mendapat sambutan hangat daripada peserta pelbagai peringkat umur, termasuk yang membawa anak-anak, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana santai dan bersemangat.

Pengarah program, Asmaa’ Wahap berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan peserta melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan, di samping memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah dalam kalangan mereka.

Katanya, aktiviti explorace kali ini, walaupun melibatkan banyak pergerakan fizikal, tetap disertai dengan penuh keceriaan oleh semua peserta.

“Kami amat gembira melihat semua peserta begitu bersemangat menjalani setiap tugasan, walaupun program ini melibatkan aktiviti yang berpeluh.

“Explorace bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membantu mereka menjaga kesihatan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program di Dataran Batu Buruk, pada semalam.

Menurutnya, ini merupakan kali ketiga program Explorasi Alamanda diadakan.
“Pada tahun 2022, peserta menggunakan kereta dalam explorace, diikuti berjalan kaki pada 2023.

“Tahun ini, konsep ‘ride’ diperkenalkan, dan penganjur sudah merancang untuk memperkenalkan konsep baharu pada tahun 2025,” katanya.

Oleh itu, Asmaa yang merupakan Pengarah Ameerah Fun Club (AFC) menambah, AFC selaku badan sukarelawan turut memperkenalkan kumpulan Ameerah Rider, yang disasarkan kepada wanita muda yang berminat dalam aktiviti permotoran.

Katanya, pengenalan ini bertujuan untuk meraikan minat golongan wanita terhadap sukan permotoran, sambil menekankan kepentingan pemakaian yang sesuai dan sopan ketika menunggang motosikal.


“Kita tidak boleh menafikan minat yang semakin berkembang dalam kalangan wanita terhadap sukan permotoran.

Oleh itu, Ameerah Rider diperkenalkan untuk memberi ruang kepada mereka menyertai aktiviti ini dengan cara yang sesuai,” tambahnya.

Program Explorasi Alamanda yang diadakan setiap tahun pada bulan kemerdekaan ini bukan sahaja menjadi medan untuk peserta menguji ketahanan fizikal mereka, tetapi juga memupuk kesedaran sejarah dan patriotisme melalui pemakaian yang mengingatkan peserta tentang warisan negara.

Justeru itu, beliau berharap agar para peserta akan terus menyokong program-program yang dianjurkan pada masa hadapan, dan menantikan Explorasi Alamanda tahun depan yang dijanjikan akan lebih menarik lagi.