Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama TESDEC dan ALKA perkukuh penggunaan tenaga lestari di Terengganu

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Solar dan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. (TSSB) dan Alka System Sdn. Bhd. (ALKA)  satu langkah penting dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga lestari di Malaysia, khususnya di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Alka System Sdn. Bhd., Ts. Ir. Mohd Ferdus Abdul Kadir, menyatakan bahawa projek solar itu bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon negara.

Menurutnya, ia turut menyumbang kepada pencapaian sasaran kerajaan untuk memperoleh 31 peratus penjanaan tenaga daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025.

“Kolaborasi antara ALKA dan TSSB bagi projek solar ini adalah di bawah program Net Energy Metering 3.0 (NEM) yang dikendalikan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA), di mana program ini terbahagi kepada tiga kuota: NEM Rakyat (Perumahan), NEM Gomen (Entiti Kerajaan), dan NOVA (Industri).

“Kuota NEM Rakyat telah pun tamat pada minggu lalu, manakala baki kuota bagi NEM Gomen adalah 44 MWac dan NOVA berbaki 108 MWac.

“Oleh itu, ALKA berbesar hati bekerjasama dengan TSSB untuk merealisasikan projek solar di bangunan kerajaan dan komersial,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Tenaga Hijau dan Pengurusan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. dan Alka System Sdn. Bhd. di Permai Hotel, hari ini.

Selain projek solar, kedua-dua syarikat turut bekerjasama dalam Program Kecekapan Tenaga yang dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST), yang bertujuan menilai penggunaan tenaga di bangunan komersial dan industri serta mengenal pasti peluang untuk penjimatan tenaga.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini membuktikan komitmen kedua-dua syarikat untuk terus meneroka dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien dan mesra alam,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TESDEC Services atas kepercayaan yang diberikan, dan berharap kerjasama ini akan membawa impak positif kepada negeri Terengganu serta menyumbang kepada kemajuan tenaga lestari di Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat menyediakan penyelesaian inovatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran kita,” katanya.

Beliau berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada masyarakat, negeri Terengganu, dan persekitaran, serta berharap agar projek ini berjalan lancar dan membawa perubahan positif.