Home Berita PAS Pahang

Teraju Pahang PRU-16, PAS jadi pilihan utama medium perantara rakyat

67
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

TEMERLOH, 16 SEPT – Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, masyarakat Melayu khususnya di Negeri Pahang menyokong dan menyambut baik keberadaan PAS di negeri tersebut.

Ini  terbukti melalui progam-program rutin yang disusun oleh PAS secara berkala, menjadikan rakyat memilih wakil rakyat PAS sebagai medium perantara utama untuk mengadu dan meluah perasaan.

“Kita nampak orang Melayu sangat memberikan sokongan kepada kita, melalui program-program ziarah yang kita buat di kebanyakan tempat dan mereka sangat kecewa dengan gabungan UMNO dan DAP, ini dapat dilihat melalui keputusan PRU ke-15.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) pula, walaupun di kerusi itu Barisan Nasional (BN) menang contohnya di Nenggiri, sehingga Pengarah Pilihan Raya UMNO sendiri pun disebut bahawa walaupun BN menang tetapi keputusan pilihan raya itu tidak menunjukkan (bukan sebagai indikator) bahawa orang Melayu menyokong BN,” ujarnya ketika menjawab soalan-soalan hangat dalam rancangan podcast PAS Teraju Pahang (PTP) : Edisi Khas Muktamar ke-70, semalam.

Tambahnya, PAS sangat yakin orang Melayu masih berada dalam keadaan tidak bersetuju dengan gabungan kerjasama antara UMNO – DAP dan rakyat melihat hanya PAS dan Perikatan Nasional (PN) mampu menawar jalan penyelesaian terbaik.

“Kita PAS menawarkan kepada rakyat Negeri Pahang satu sistem pemerintahan, bukan bermaksud kita menolak bukan Islam tetapi sistem pemerintahan, sistem pentadbiran yang meletakkan orang Melayu sebagai teras ataupun majoriti dalam pentadbiran negara.

“Di waktu yang sama untuk masyarakat bukan Islam kerana Islam itu adalah jalan penyelesaian dan Islam itu sendiri sebagai agama yang menganjurkan keharmonian, sebab itu kita lihat takda pun orang bukan Islam, orang Cina di Kelantan, di Terengganu, di Kedah yang tertekan, yang terpinggir disebabkan PAS menguasai negeri itu, insya-Allah jangan bimbanglah,” ujar Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur tersebut.